Categories: Trending

Wanita diserang harimau bintang setelah memanjat pagar untuk swafoto

Oleh: Syarifah Fatin Anisa Tuan Said Shakh

Melihat haiwan liar terutamanya harimau bintang di hadapan mata sememangnya satu pengalaman yang mendebarkan tetapi pada masa sama menyeronokkan.

Apabila berkunjung ke zoo, haiwan jenis ini kebiasaannya berada dalam kurungan yang dikelilingi pagar. Ini kerana, sifatnya yang liar adalah tidak boleh dijangka dan boleh menyerang manusia pada bila-bila masa sahaja.

Namun begitu, wanita dari Arizona, Amerika Syarikat ini mengambil jalan merbahaya untuk berada lebih dekat dengan karnivor tersebut lalu memanjat pagar untuk masuk ke dalam kurungannya.

Seperti yang dijangkakan, dia diserang oleh harimau bintang tersebut!

Menceritakan kembali kejadian berkenaan, saksi, Adam Wilkerson memberitahu CNN, “Saya terdengar jeritan wanita yang meminta bantuan lalu berlari ke arahnya untuk mengetahui apa yang terjadi,” katanya.

Dia menjelaskan bahawa harimau bintang tersebut membenamkan kukunya ke lengan wanita tersebut. Ibunya menarik perhatian haiwan tersebut dengan membaling botol air ke arah pagar. Ia menyebabkan harimau bintang tersebut berlalu pergi.

Mereka menarik keluar wanita berkenaan tetapi dia sudah tidak sedarkan diri.

Rentetan kejadian ini, seorang pengguna @NothappyMatt mempersoalkan tajuk berita yang disiarkan di Twitter Moments yang mengatakan haiwan tersebut menyerang seorang wanita di Zoo Hidupan Liar di Arizona. Dia menyatakan bahawa wanita tersebut yang bersalah dalam hal ini kerana memanjat pagar kurungan untuk melihat haiwan berkenaan dengan lebih dekat.

 

Dia turut menegaskan bahawa kejadian itu terjadi bukan disebabkan kerana serangan haiwan tetapi sikap pengunjung yang tidak bertanggungjawab!

Pengguna twitter @2tyco atau Jessie Geroux merayu agar tiada tindakan dikenakan ke atas haiwan berkenaan dengan menghantar ‘tweet’ kepada Zoo Hidupan Liar Arizona di Twitter.

Pihak Zoo memberi jaminan bahawa keselamatan setiap haiwan terutamanya harimau bintang tersebut adalah terjaga.

Walaupun kecederaan yang dialami adalah tidak membahayakan nyawanya tetapi ia sudah cukup untuk memberikan mesej kepada pengunjung di luar sana untuk tidak memasuki kawasan hidupan liar dengan sewenang-wenangnya.

Sumber: Unilad

tex_admin