Categories: Uncategorized

Bibir lembap dan bebas mengelupas, ini cara membelainya sepanjang Ramadan. Nombor 6, pertama kali dengar!

Gembira badan susut, tetapi tidak selesa bibir kering. Begitulah dilema kebanyakan wanita sepanjang menyantuni bulan Ramadan.

Jika bukan bulan Ramadan, pelembap bibir tidak pernah dilekang dari bibir. Tetapi semenjak berpuasa, rutin kecantikan bagaikan dipandang sepi.

Seperkara yang perlu anda tahu, tidak salah bagi anda menggunakan pelembap bibir, waima memakai gincu sekalipun kerana ia dibolehkan dengan syarat tidak menelan masuk ke dalam rongga.

Jika berasa khuatir, bolehlah lakukan rutin harian ini pada sebelah malam.

Selain itu, terdapat beberapa panduan yang ingin Hijab & Heels kongsikan kepada pembaca, bagaimana untuk memastikan bibir senantiasa sihat dan lembap sepanjang Ramadan.

Ini penting kerana jika bibir kering dan mengelupas, mulalah rasa hendak mencabutnya lalu menyebabkan luka.

Foto: Area Cewe

Jika melakukan perkara itu dalam keadaan disengajakan ketika berpuasa dan tertelan darah, maka sia-sialah puasa yang dilakukan.

Oleh itu, jangan buang masa, jom kita lihat petua penjagaan bibir seterusnya!

1. Sebelum mencuci wajah, sapukan pelembap bibir. Bahan pencuci yang digunakan boleh bertindak menjadikan kulit bibir kering dan kehilangan pH serta menyebabkan kulit bibir mengelupas.

2. Gunakan minyak badam kerana ia mengandungi vitamin A dan E untuk memberikan kesan kelembapan yang lebih semula jadi pada bibir.

3. Jika kulit bibir anda merekah, hiris timun dan letakkan pada bibir selama lima minit, mungkin ketika kamu sedang menonton televisyen atau membaca buku kegemaran anda.

4. Campurkan gula dan madu sehingga sebati dan sapukan pada bibir. Jika kamu mempunyai bibir sensitif, gunakan berus gigi lembut dan gosok perlahan pada bibir.

5. Jangan biasakan menjilat bibir. Ini kerana ramai yang tidak tahu, air liur bukannya bertindak membasahkan bibir, sebaliknya menjadikan ia lebih kering kerana terdapat asid terkandung pada air liur manusia. Sekali gus menghilangkan minyak asli yang terbit pada bibir.

6. Bernafas dengan hidung. Ada kalanya, pernafasan melalui mulut boleh menyebabkan bibir anda kering.

7. Gunakan sedikit krim tabir suria untuk mengelakkan bibir terkena iritasi dan kekeringan. Jika bibir sudah menjadi kering dan berkuping, elakkan menyapu krim lagi kerana SPF boleh menyebabkan kepedihan pada kulit sensitif.

8. Bibir yang tidak kering juga perlukan perlindungan. Gunakan beeswax sekiranya anda bercadang untuk melakukan aktiviti luar. Ia ‘mengunci’ kelembapan dan bertindak sebagai penghadang dehidrasi.

Kekal sihat dan menawan sepanjang Ramadan, amalkan panduan yang telah dikongsikan. Selamat mencantikkan diri!

Yanie Baharom