Menerima pencalonan tertinggi menerusi tujuh kategori, tiga daripadanya menjadi milik beliau, pelakon cantik manis, Mira Filzah menepati ramalan ramai apabila dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular (ABPBH) Ke-32, malam tadi.
Mira Filzah yang tampil berbusana putih rekaan Afiq M dipadan perhiasan mewah (set kalung, rantai dan cincin) tajaan Habib Jewels bernilai RM2.2 juta, kelihatan terkesima saat namanya diumumkan oleh penyampai trofi iaitu penyanyi Aishah yang pernah memenangi gelaran itu pada tahun 1990.
“Syukur Alhamdulillah, syukur banyak-banyak atas rezeki daripada Allah SWT. Terima kasih kepada Berita Harian, media yang tidak putus-putus menyokong kerjaya Mira empat, lima tahun ini.
“Terima kasih Miraclegacy, Mirah Biru undi Mira tahun ini. Ini untuk kita semua, terima kasih,” katanya ketika memberi ucapan.
Meraih undian tertinggi menerusi kategori Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa dengan 6,320,463 undi, Mira Filzah, 26, menewaskan pencabar terdekatnya, Khai Bahar dan Siti Nordiana yang dilihat berpotensi besar mengungguli trofi itu.
Kemenangan itu melayakkan Mira Filzah membawa pulang hadiah utama, kereta Nissan X-Trail 2.0L Hybrid bernilai RM160,000, sumbangan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) berserta trofi.
Menjadi kemenangan besar buat Mira Filzah atau nama lengkapnya Nur Amirah Filzah Badioezaman apabila turut mengungguli kategori Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa, menghampakan Siti Nordiana dan Janna Nick yang turut memberikan saingan sengit.
Mira Filzah juga cemerlang apabila membawa pulang trofi Pelakon Filem Wanita Popular, menewaskan kemaraan bintang senior, Erra Fazira dan Delimawati, selain Uqasha Senrose serta Hannah Delisha.
Kehebatan gandingannya bersama Remy Ishak turut memperlihatkan kejayaan anak jati kelahiran Ipoh, Perak iu dalam kategori online, apabila meraih trofi Gandingan Serasi Drama Popular menerusi Pujaan Hati Kanda.
Diramal antara yang berpotensi meraih Gelaran Bintang Paling Popular, Khai masih terus mempertahankan gelaran Penyanyi Lelaki Popular DuitNow untuk tiga tahun berturut-turut meskipun belum rezekinya untuk menakluki anugerah tertinggi itu.
Malam kemuncak ABPBH 32 menyaksikan gema gempita sorakan peminat Khai Bahar Empire setiap kali namanya disebut, memberi ‘kegerunan’ buat FC (Kelab Peminat) lawan yang lain.
ABPBH 32 kali ini turut menyaksikan beberapa kategori bertukar tangan apabila ‘dirampas’ pemenang sebelumnya.
Syafiq Kyle antara yang berjaya menebus kekecewaannya tahun lalu dengan memenangi Pelakon TV Lelaki Popular Alha Alfa. Selain mengekang kemaraan Remy, kekasih hati pelakon Mimi Lana itu turut menghampakan pemenang tahun lalu, Fattah Amin.
Pelakon yang popular menerusi watak Ustaz Adam dalam drama, Nur dan Nur 2 itu juga melakat kemenangan berganda apabila diumumkan sebagai Gandingan Serasi Filem Popular bersama Hannah Delisha menerusi filem, Langsuir.
Sementara itu, Fattah Amin tidak pulang dengan tangan kosong apabila memenangi trofi Pelakon Filem Lelaki Popular, sekali gus mengetepikan pencabar terdekatnya iaitu Remy dan Zul Ariffin yang pernah dua kali mengungguli kategori itu.
ABPBH 32 juga menyaksikan trofi Penyanyi Wanita Popular DuitNow yang dimenangi oleh Wany Hasrita tahun lalu kembali ke pangkuan pemenang sebelumnya, Siti Nordiana.
Keampuhan populariti penyanyi Hatiku Milikmu itu semakin kukuh apabila dia turut menjadi pilihan peminat untuk diangkat sebagai Pengacara TV Popular ABPBH 32.
Siti Nordiana bagaimanapun, terpaksa akur apabila gandingannya bersama Alif Satar gagal mengekang kekuatan pengaruh Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini yang diumumkan sebagai pemenang Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.
ABPBH 32 turut melakar kenangan manis buat pelakon dan pengacara, Janna Nick apabila mengungguli kategori Artis Versatil Popular. Janna menewaskan saingan sengit Siti Nordiana dan Mira, selain menghampakan pemenang edisi lalu, Alif Satar.
Sementara itu, Zizan Razak terus mempertahankan trofi Artis Komedi Popular yang dimenanginya pada edisi ABPBH 3.0 dan 31, menghampakan Jep serta Jihan Muse yang turut memberi saingan sengit bagi kategori itu.
ABPBH 32 turut mengembalikan trofi Penyampai Radio Popular ke pangkuan DJ Lin selepas dua tahun berpindah tangan. Penyampai radio Suria FM pernah memenangi trofi itu pada edisi ABPBH 29.
Sementara itu, dua kategori baharu yang diperkenalkan, iaitu Artis Indonesia Popular menjadi milik Laudya Cynthia Bella, manakala trofi Artis Korea Popular pula berpihak kepada BTS yang menerima sorakan hebat meskipun tidak hadir untuk menerima trofi berkenaan.
Pelakon Adam Lee turut cemerlang apabila dinobatkan sebagai Artis Baharu Lelaki Popular, manakala Haneesya Hanee mengubat kekecewaan yang pernah dilalui dengan merangkul trofi Artis Baharu Wanita Popular, menghampakan Sarah Suhairi yang diramal mampu menjulang kemenangan.
Untuk kategori online ABPBH 32, penyanyi Haqiem Rusli ampuh dengan dua kemenangan menerusi Artis Sensasi Popular, selain lagunya, Selamat Tinggal Sayang diumumkan sebagai Lagu Paling Boom.
Sementara pelakon Shukri Yahaya diangkat sebagai Pelakon Watak Antagonis Popular menerusi lakonan berkesannya memegang watah negatif.
Usaha kumpulan Raihan membawa misi dakwah merentas sempadan menerusi muzik diiktiraf apabila mereka diumumkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.
ABPBH 32 yang bersiaran langsung menerusi Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan disiarkan TV3 itu dihoskan buat pertama kalinya oleh AC Mizal dan Elly Mazlien yang berjaya mengemudi rancangan anugerah itu selama hampir tiga jam bersiaran.
Anugerah ABPBH 32 diserikan lagi dengan persembahan bertenaga Ismail Izzani yang berduet dengan Zizan Razak, Sufian Suhaimi, Idayu, Liza Hanim, Ernie Zakrie, De Fam, Stacy, Akim & The Majistret, Hazama dan ramai lagi.
SENARAI PEMENANG ABPBH 32
Kategori Utama
Bintang Paling Popular: Mira Filzah
Artis Baharu Lelaki Popular: Adam Lee
Artis Baharu Wanita Popular: Haneesya Hanee
Pelakon TV Lelaki Popular Alha Alfa: Syafiq Kyle
Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa: Mira Filzah
Pelakon Filem Lelaki Popular: Fattah Amin
Pelakon Filem Wanita Popular: Mira Filzah
Penyanyi Lelaki Popular DuitNow: Khai Bahar
Penyanyi Wanita Popular DuitNow: Siti Nordiana
Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular: Dayang Nurfaizah & Hael Husaini
Artis Komedi Popular: Zizan Razak
Artis Versatil Popular: Janna Nick
Pengacara TV Popular: Siti Nordiana
Penyampai Radio Popular: DJ Lin (Suria FM)
Kategori Baharu
Artis Indonesia Popular: Laudya Cynthia Bella
Artis Korea Popular: BTS
Anugerah Khas
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat: Raihan
Kategori Online
Gandingan Serasi Drama Popular: Remy Ishak & Mira Filzah (Pujaan Hati Kanda)
Gandingan Serasi Filem Popular: Syafiq Kyle & Hannah Delisha (Langsuir)
Pelakon Watak Antagonis Popular: Shukri Yahaya
Artis Sensasi Popular: Haqiem Rusli
Lagu Paling Boom: Selamat Tinggal Sayang (Haqiem Rusli)