Eat Travel By: Shaidah Shafie January 16, 2020 @ 9:32am

Ketahui kuih penyeri majlis bersifat malar zaman

Kuih muih adalah antara hidangan penting dalam sesuatu majlis walaupun ia hanya berstatus pembuka selera atau pemanis mulut yang lazim digandingkan dengan teh atau kopi kala berbual santai selepas menikmai hidangan berat.

Kuih yang lazim dijadikan pemanis mulut atau pelengkap hidangan dalam sesuatu majlis atau acara baik yang bersifat kecil atau berskala besar, antaranya kuih lapis, talam, bingka, koci, karipap, seri muka, kuih kacau dan banyak lagi.

Meskipun sering dilabel sebagai kuih tradisional, namun kehadirannya ditunggu dan digemari mungkin kerana rasa, keunikan pembuatannya dan warna yang tertera pada kuih muih berkenaan.

Kuih-muih tradisional menyuntik ceria dalam majlis yang diadakan. – Raja Azferina Raja Azman.

Perunding majlis  yang juga pengasas Devotion Malaysia Life Event, Raja Azferina Raja Azman, berkata ada sebab kenapa kuih muih-muih itu sering menjadi pilihan untuk dihidangkan dalam majlis mahupun kebanyakan acara.

“Pada sesetengah individu, kuih-muih seperti bingka atau talam dipilih kerana mereka gemar akan rasanya yang enak, tapi sebenarnya cerita di sebalik kuih-muih berkenaan ialah bertujuan mengimbau kenangan silam dimana ia menjadi sajian utama sewaktu zaman kanak-kanak atau remaja.

“Kemunculan kuih-muih moden juga agak menenggelamkan populariti kuih-muih tradisional ini menyebabkan kemunculannya menjadi istimewa, ‘elegant’ dan klasik,” katanya kepada Hijab & Heels ketika ditemui, baru-baru ini.

Bahulu sentiasa sesuai untuk dijamu kepada tetamu.

Raja Azferina yang juga penggemar kuih-muih tradisional seperti baulu dan abok-abok berkata, faktor warna juga memainkan peranan kenapa kuih lama sering dilihat terkehadapan dalam sesuatu majlis.

“Rupa bentuk kuih-muih yang merangkumi pelbagai warna yang terang dan cerah dengan mudahnya menarik perhatian selain membangkitkan selera untuk dinikmati

“Kebanyakan kuih-muih ini mempunyai resipi yang mudah tetapi proses pembuatannya yang amat terperinci itu yang membuatkan ia istimewa. Kebiasaannya kesempurnaan hanya dapat dicapai melalui proses latih tubi yang panjang menyebabkan ia amat dihargai apabila dihidangkan,” katanya.

Kuih kacau, seri muka, kuih bakar Kemboja dan puding jagung sesuai dijadikan hidangan minum petang dan sentiasa digemari ramai dalam semua acara.

Kuih talam keladi umpamanya tampak cantik kerana kombinasi putih dan ungu, begitu juga dengan kuih lapis yang lazim dihasilkan dalam warna merah dan putih manakala kuih bakar pula nampak berseni dengan taburan bijan di atasnya.

Lebih mengujakan, kebanyakan kuih lama menggunakan pewana daripada sumber asli seperti warna ungu diperoleh daripada bunga telang dan hijau pula daripada pandan yang turut menerbitkan aroma harum dalam makanan yang dihasilkan.

Abok-abok ringkas sahaja cara pembuatannya, namun memerlukan latihan bagi menjadikan ia sempurna dan molek rupanya.

Katanya lagi, disebabkan proses yang terperinci itulah menyebabkan kuih-muih lama dipilih sebagai pencuci atau pemanis mulut walaupun kini mungkin tidak ramai generasi muda yang gemar menikmati kuih kacau keledek yang perlu dikacau lama di atas dapur sebelum siap untuk dijamah.

“Kuih-muih manis tradisional ini memang sesuai sebagai pencuci mulut. Penggunaan bahan-bahan alami dan kaedah sajian kuih-muih ini dapat merangsang deria dan membangkitkan selera. Bagaimanapun, sajian kuih-muih tradisional ini bergantung kepada turutan hidangan.

“Sebagai contoh, kuih-muih gurih (savory) dihidangkan sebagai pembuka selera iaitu seperti karipap dan kuih talam berlauk manakala kuih-muih pencuci mulut dihidangkan selepas hidangan utama antaranya kuih-muih tradisional manis seperti wajik, kuih kochi, bingka ubi, kuih lapis, kuih bakar Kemboja, abok-abok dan kuih bahulu,” katanya.

Kuih lapis dan kuih kacau ini antara kuih yang menarik selera tetamu untuk menikmatinya.

Raja Azferina berkata, selain daripada kategori di atas, terdapat juga kuih-muih tradisional yang dihidangkan hanya pada keramaian tertentu. Contohnya, pulut kuning atau pulut berlauk (serunding) dihidangkan untuk meraikan acara perkahwinan.

“Jika anda yang menjadi tuan rumah, pastikan pilihan jenis-jenis kuih mengikut turutan sajian haruslah bersesuian dengan majlis untuk kesenangan tetamu atau jemputan yang diundang.

“Selain itu, sajian secara selerak atau dihidang (serve), kedua-duanya sesuai dengan budaya kita. Walau bagaimanapun, saya berpendapat bahawa kuih-muih yang dihidangkan akan menambahkan seri kepada acara yang diadakan. Ini juga akan memberi kepuasan dan keselesaan terhadap tetamu,” katanya.

Sehubungan itu, tepuk dada tanyalah selera jika ingin menjadikan majlis diadakan kekal manis dalam ingatan tetamu jemputan kerana makanan yang enak dan sedap juga adalah elemen penting untuk menjayakan sesuatu majlis.

Seri muka pandan dan puding jagung mengundang ceria pada sesuau majlis.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Fri, 1 Oct 2021
Featured Mon, 9 Jan 2023

Keluarga Syamsul Tak Akan Maafkan Kazar Saisi – Patimah Ismail

Kami terima takdir yang telah berlaku kepada anak kami yang malang itu – Ibu Syamsul Yusof

Featured Wed, 1 Sep 2021

Paralimpik Tokyo 2020: Wei Lun Raih Perak, Ubati Kekecewaan Rakyat Malaysia

Setelah rayuan keputusan Paralimpik Ziyad Zolkefli tidak berpihak kepadanya, rakan seperjuangannya, Chew Wei Lun hari ini mengubati kekecewaan rakyat Malaysia apabila berjaya memenangi pingat perak pada aksi final acara individu BC1 di Pusat Gimnastik Ariake […]

Featured Tue, 19 Jul 2022
Events Fri, 25 Feb 2022
Featured Fri, 10 Jan 2020
Eat Travel Tue, 3 Jul 2018

Jom Belajar Cara Nak Buat Kek Mentega Yang Lembut Dan Gebu Ini

Butter cake ini memang sedap dimakan seisi keluarga.