Baju kurung klasik potongan tradisional mampu membuatkan si pemakai tampak anggun dan menawan, malah amat sesuai untuk digayakan pada Aidilfitri tatkala berkunjung ke rumah sanak saudara.
Tidak hairanlah, baju kurung Bahari Asyek yang mengekalkan potongan tradisional dalam setiap rekaannya sentiasa menjadi pilihan kebanyakan wanita bekerjaya.
Pengarah Urusan Bahari Asyek Fabric & Clothing, Zahalina Ab Rahman, berkata potongan baju kurung tradisional bukan sahaja selesa digayakan, tetapi turut membuatkan penampilan lebih anggun dan tampak eksklusif.
“Bersesuaian dengan maksud Bahari Asyek iaitu kecintaan terhadap warisan, setiap rekaan baju kurung kami mengekalkan potongan tradisional yang lebih labuh dan bersaiz besar.
“Bagaimanapun, bagi menarik generasi muda untuk memilih Bahari Asyek sebagai jenama pilihan, kami menyuntik elemen kontemporari dalam setiap rekaan,” katanya ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Himpunan Syawal Bahari Asyek 2020 di Shah Alam, baru-baru ini.
Himpunan berkenaan menampilkan 32 rekaan baharu yang berkonsepkan tradisional menggunakan fabrik seperti kapas, sutera kapas, broked, voil dan tenun.
Bagi menyerlahkan keunikan himpunan itu, setiap rekaan turut dinamakan antaranya Kurung Tun Fatimah, Kurung Sultana, Kurung Riau Tenun, Kurung Kuno Kapas, Kurung Moden Puspa, Kurung Poket Dua, Kurung Kelasi, Kurung Tun Teja dan Kebaya Dayang Senandung.
Antara rekaan yang menarik ialah Baju Kurung Poket Dua yang cukup popular pada dekad 1970-an. Baju kurung berkenaan menampilkan dua poket yang dijahit pada sisi baju, sesuai bagi wanita yang ingin meletakkan barang atau sekadar meletak tangan di dalamnya.
Bagi yang menggemari baju bersaiz besar, boleh memilih baju kurung Tun Fatimah diperbuat daripada kain kapas voil yang lembut dan beralun apabila digayakan.
Meskipun saiznya agak besar, apabila dipakai penampilan tampak lebih kemas dan langsing sesuai untuk wanita bertubuh tinggi. Begitupun, setiap baju kurung Bahari Asyek dijahit dengan perincian yang kemas dan disesuaikan untuk wanita tanpa mengira ketinggian.
Bagi wanita berbadan besar, Kurung Sultana sesuai digayakan. Didatangkan dalam fabrik bercorak ‘mata ikan’, baju kurung ini menjadikan pemakai tampak langsing dan tinggi.
Selain rekaan baharu itu, Himpunan Syawal Bahari Asyek 2020 turut mengembalikan rekaan tahun lalu iaitu Kebaya 4 Dara, Kebaya Siti Zaleha, Kutung Kedah Sunti dan Kurung Kedah Seri.
Pelanggan yang berminat untuk membeli baju kurung Bahari Asyek, boleh berkunjung ke premis jenama itu di Plaza Shah Alam, atau membuat pembelian menerusi laman sosial Instagram di akaun bahariasyek.co yang dilancarkan pada 2018.