Categories: Acara

AEON pasar himpunan Walt Disney Year of Mouse & Mickey Love

Peruncit terkemuka Jepun, AEON Co (M) Berhad (AEON) menjalin kerjasama dengan The Walt Disney Company Malaysia (Walt Disney) untuk mengedarkan pelbagai barangan yang memaparkan watak istimewa Walt Disney khususnya himpunan Mickey Mouse di pusat beli-belah AEON terpilih.

Menerusi kerjasama itu, AEON akan mengedarkan pelbagai barangan Walt Disney khusus untuk pelanggan dewasa termasuk himpunan Marvel yang menampilkan watak adiwira daripada filem Avengers.

Pengarah Pengkomersialan Produk Pengguna Walt Disney Company (Asia Tenggara) Pte Limted, Tan Wee, berkata selain memasarkan pelbagai himpunan istimewa Walt Disney, AEON juga akan mengadakan himpunan eksklusif bersempena dengan sambutan perayaan di negara ini.

Megumi Asano (kiri) dan Tan di ruang eksklusif Walt Disney yang menampilkan dhimpunan eksklusif Year of Mouse & Mickey Love bersempena dengan kedatangan Tahun Baharu Cina 2020. Gambar NSTP/ NURUL SHAFINA JEMENON

“Kebanyakan kita membesar dengan kartun Walt Disney, justeru kerjasama ini diharap dapat memberi peluang kepada peminat dewasa watak kartun Walt Disney khususnya Mickey Mouse untuk mendapatkan barangan istimewa Walt Disney.

“Di samping itu, kami juga akan mengadakan himpunan istimewa perayaan seperti Hari Raya, Krismas, Hari Kebangsaan dan sebagai permulaan kami memperkenalkan himpunan eksklusif Year of Mouse & Mickey Love bersempena dengan kedatangan Tahun Baharu Cina 2020,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman kerjasama antara AEON dengan Walt Disney Malaysia, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pakaian Wanita, Lelaki, Kanak-kanak dan Pakaian Dalam AEON, Megumi Asano dan pereka rasmi himpunan berkenaan, Keita Hyodo. 

Kerjasama itu menyaksikan AEON kini bukan sahaja memasarkan barangan Walt Disney untuk bayi dan kanak-kanak yang sedia ada sebelum ini, tetapi juga untuk pelbagai usia bagi memberi peluang kepada peminat yang sudah dewasa.

Pelbagai barangan diinspirasikan daripada adiwira Marvel turut dijual di AEON. Gambar NSTP/ NURUL SHAFINA JEMENON

Ruang eksklusif Walt Disney baharu itu menampilkan barangan antaranya kemeja–T grafik, aksesori seperti beg galas (tote bag) dan permainan termasuk himpunan Year of Mouse & Mickey Love dengan watak kegemaran ramai Mickey Mouse dan Minnie Mouse.

Selain itu, peminat rangkaian filem Marvel juga pasti teruja kerana pelbagai barangan khususnya kemeja-T yang menampilkan watak adiwira seperti Hulk dan Spiderman.

Meskipun himpunan berkenaan memaparkan watak terkenal daripada kartun Walt Disney dan Marvel, setiap barangan dijual pada harga berpatutan iaitu antara RM29 hingga RM50.

Himpunan Year of Mouse & Mickey Love akan berada di pasaran mulai 13 Disember 2019 hingga 20 Januari 2020. Buat permulaan, himpunan istimewa itu boleh didapati di AEON Mid Valley, AEON Bandar Utama dan AEON Taman Maluri.

Fadzlena Jafar