Categories: Acara

Bakal Wakili Negara di UK, Mr World Malaysia 2022 Nobatkan Joshua Benedict Sebagai Juara

Pertandingan akhir Mr World Malaysia 2022 anjuran Universal Music Malaysia telah menobatkan Joshua Benedict sebagai juara.

Membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM25,000 dan akan mewakili negara di Mr World 2022/23 di United Kingdom yang dijadualkan tahun depan, Joshua menewaskan Chow Di Sheng yang meraih tempat naib johan dan Jayson Phuah yang berpuas hati di tempat ketiga.

Diadakan dengan gemilang di Grand Hyatt Kuala Lumpur, acara terbabit menyaksikan 23 finalis bersaing antara satu sama lain untuk merebut gelaran berprestij.

Dengan tema ‘Lelaki Berdimensi’, Mr World Malaysia 2022 bermula pada Mei awal tahun ini dengan sesi uji bakat dan menyaksikan lebih 100 calon mendaftar untuk menjadi sebahagian daripada pertandingan lelaki paling berprestij di mana ia dianjurkan oleh Miss World Organization di United Kingdom.

Sebagai permulaan kepada pemilihan pemenang, 23 peserta melalui beberapa pusingan aktiviti sebelum sesi penyingkiran yang merangkumi penilaian dalaman dan persembahan atas pentas termasuk pameran pakaian kebangsaan, persembahan pakaian santai dan persembahan pakaian makan malam.

Jawatankuasa penghakiman terdiri daripada Kim Lim, Pengarah Urusan, Universal Malaysia, Diana Danielle (Selebriti), Samuel Seow (Beam Artiste), Muzaamin (Editor GLAM Lelaki) dan Dewi Liana Seriestha (Miss World Malaysia 2014) menghakimi 23 finalis kepada 10 finalis teratas termasuk pemenang Mr Popular yang diundi oleh orang ramai.

10 finalis ini kemudiannya memberi ucapan selama seminit untuk membuat kesimpulan mengenai advokasi mereka sebelum mengumumkan finalis kepada lima terbaik.

Lima finalis akhir seterusnya melalui pusingan soal jawab dengan hakim di mana soalan adalah berkaitan isu semasa untuk menentukan pemenang keseluruhan.

Mr World Malaysia 2022 dianjurkan oleh Universal Music Malaysia untuk mencungkil bakat baharu dan mempelbagaikan portfolio pengurusan bakatnya di bawah Celebrity360.

Padin