Categories: Acara

Pencarian cef muda berbakat kini kembali. Mungkin anda yang MAGGI dan KPM cari!

Pertandingan kulinari yang paling dinantikan anak muda, Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® (MSSCC) kini kembali bagi edisi ke-23. MSSCC yang dilancarkan oleh MAGGI®  pada 1997 diadakan bertujuan memupuk minat memasak dalam kalangan anak muda Malaysia serta menggalakkan amalan pemakanan yang sihat dan tabiat memasak yang baik.

Dengan tema ‘Anda dan MAGGI®. – Membawa kesan positif kepada masakan harian,’ MSSCC 2019 juga menawarkan satu medan persaingan untuk cef muda memperlihatkan kemahiran memasak mereka dalam mencipta sajian masakan rumah.

Sebagai satu inisiatif bersama MAGGI® dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), MSSCC tahun ini akan mempertingkatkan mutu pertandingan dengan menerapkan cabaran baharu bertujuan memberi inspirasi kepada pelajar bagi memupuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Menerusi pengalaman tahun lalu, MSSCC 2019 akan memperlihatkan struktur pertandingan serta elemen baru yang lebih segar.

Menurut Kimberly Oh, Pengurus Pemasaran MAGGI®, “Kami teruja kerana dapat memberi peluang sekali lagi kepada anak muda Malaysia untuk menunjukkan kepakaran kulinari mereka menerusi MSSCC.

Berbeza dengan tahun sebelumnya di mana pelajar akan mencipta sajian berdasarkan resipi sedia ada, pertandingan tahun ini menampilkan Cabaran Masakan Kreatif yang memerlukan pelajar untuk memanfaatkan kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah mereka dari awal pertandingan lagi.

Pelajar akan diberi bahan mentah rahsia yang memerlukan mereka menggunakan kreativiti serta kemahiran untuk mempersembahkan idea hidangan mereka. Terdapat juga penekanan yang lebih besar iaitu persembahan serta kemahiran berkomunikasi yang pelajar perlu persembahkan ketika penyediaan resipi sajian yang mereka hasilkan.

Kami sentiasa berusaha untuk memupuk kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat menerusi pemakanan yang sewajarnya. Ini selaras dengan matlamat jenama kami untuk mencipta detik bahagia terhadap individu dan keluarga menerusi makanan yang enak,” tambah beliau.

Acara MSSCC tahun 2019 dilancarkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Presint 11 dan dirasmikan oleh Suhaimi Sun Abdullah, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Sukan dan Seni, Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Kami mengalu-alukan kerjasama daripada pihak lain, terutama sekali sektor swasta untuk bersama-sama melahirkan generasi rakyat Malaysia yang lebih sihat. Kami gembira kerana dapat meneruskan kerjasama yang sekian lama terjalin dengan MAGGI® untuk memupuk tabiat makan yang sihat dalam kalangan pelajar kita.

Kami yakin bahawa elemen baharu dan menarik ini menggalakkan pelajar kita untuk memperlihatkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan menyediakan landasan yang kukuh untuk membolehkan mereka mengembangkan keupayaan mereka,” ujar Suhaimi.

Bagi Cabaran Memasak Kreatif yang akan berlangsung di kedua-dua peringkat negeri dan kebangsaan, peserta diberikan pelbagai bahan ramuan masakan. Langkah ini bertujuan untuk mencabar kreativiti dan kemahiran memasak dalam kalangan cef muda ini. Cef muda perlu menentukan sajian masakan mereka dengan bahan berdasarkan kreativiti mereka.

Pertandingan kali ini juga akan memperkenalkan satu kaedah baharu dalam aspek pengadilan dan pemberian markah di mana  pelajar akan dinilai berdasarkan kemahiran kulinari dan kemahiran teknikal seperti penyajian makanan, persembahan makanan, kaedah masakan serta khasiat nutrisi sajian.

Pelajar juga diberi peluang untuk mempersembahkan konsep di sebalik sajian yang akan dihidangkan kepada panel pengadil dan penonton sekali gus menyemaikan minat memasak melalui persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan. 

Setakat ini, lebih 10,000 sekolah serta 340,000 pelajar telah mengambil bahagian dalam acara ini dan mendapat pengetahuan serta kemahiran berkenaan makanan, nutrisi dan pemakanan sihat.

Semasa upacara pelancaran, tetamu jemputan telah menyertai pelbagai aktiviti, termasuk paparan interaktif Kementerian Kesihatan Malaysia seperti Suku Suku Separuh, 5 Warna Sehari dan Piramid Makanan Malaysia.

Menerusi permainan dan aktiviti ini, peserta berpeluang untuk memperlihatkan kemahiran mereka sambil belajar mengenai pentingnya pemakanan yang sihat dan diet yang seimbang. Wakil media juga diberi peluang untuk menguji kreativiti mereka dengan dua cabaran menyelesaikan masalah yang berlainan, ‘KREATIF Cooking’ dan ‘KREATIF Setting’.

Sebarang maklumat lanjut mengenai MSSCC, sila layari laman web https://www.maggi.com.my/bm/msscc-2019.

Ad Ops