Categories: AcaraEat Travel

Pertunjukan dalam air di Aquaria KLCC ceriakan anak yatim

Oleh Amnan Hibrahim

Institut Jantung Negara (IJN) dengan kerjasama Aquaria KLCC memberikan keceriaan buat lebih kurang 50 orang kanak-kanak daripada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mary KL dan juga Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari  apabila memberi peluang kepada mereka untuk menjadi yang pertama melihat persembahan istimewa Santa Claus dan Ikan Duyung di Aquaria KLCC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kanak-kanak yang terlibat di dalam program tahunan pelaburan sosial korporat (CSI) IJN “Back to School” itu turut mengambil bahagian dalam aktiviti pendidikan yang terdapat di dalam pusat akuaria berkenaan.

Perunding Pakar Jantung Kanak-kanak IJN, Dr Marhisham Che Mood berkata, IJN sentiasa memberikan keutamaan dalam memberikan perkhidmatan mereka kepada semua golongan masyarakat yang memerlukan.

Perunding Pakar Jantung Kanak-kanak IJN, Dr Marhisham Che MoodNSTP/HAFIZ SOHAIMI

“Kami sentiasa mengutamakan kesihatan masyarakat ketika menjalankan perkhidmatan kami dan tentunya perkara ini merangkumi kesihatan mental dan emosi mereka.

“Penganjuran aktiviti sebegini adalah penting khususnya buat kanak-kana yang kurang bernasib baik, di mana mereka ini lazimnya menghadapi peluang yang sangat terhad untuk menikmati kegembiraan dan pengalaman belajar seperti ini,” katanya ketika berucap pada program berkenaan di Aquaria KLCC, baru-baru ini.

Yang turut hadir pada program berkenaan adalah Pengarah Eksekutif Aquawalk Sdn Bhd, Daryl Foong.

Pengarah Eksekutif Aquawalk Sdn Bhd, Daryl Foong dan Dr Marhisham Che Mood bergambar bersama-sama dengan kanak-kanak daripada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mary KL dan juga Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari di Aquaria KLCC, Kuala Lumpur, baru-baru ini. NSTP/HAFIZ SOHAIMI

Aquaria KLCC tampil lebih istimewa sempena musim perayaan

Persembahan istimewa dalam air yang didatangkan khas sempena perayaan Hari Natal daripada Santa Claus dan juga ikan duyung serta penari yang memakai kostum penyu laut dan ikan yu itu akan diadakan hanya sebanyak empat kali sepanjang bulan perayaan ini.

Selain itu pengunjung yang hadir ke Aquaria KLCC juga berpeluang mengambil bahagian dalam aktiviti pendidikan yang disediakan di dalam pusat akuaria berkenaan

Kanak-kanak menonton persembahan istimewa dalam air Santa Claus dan ikan duyung di Aquaria KLCC. NSTP/HAFIZ SOHAIMI

Antara aktiviti pendidikan yang akan mewarnakan lawatan pengunjung khususnya kanak-kanak ke Aquaria KLCC adalah A Dash of Science yang berlangsung pada setiap Selasa, Khamis dan Sabtu Disember ini.

Topik yang akan dibincangkan ketika sesi pendidikan berkenaan antaranya adalah merangkumi proses pengasidan lautan dan fungsi lemak yang terdapat di dalam haiwan-haiwan marin.

Kanak-kanak teruja melihat persembahan istimewa Santa Claus dan Ikan Duyung di Aquaria KLCC, Kuala Lumpur, baru-baru ini. NSTP/HAFIZ SOHAIMI

Dengan caj kemasukan bagi warganegara yang berharga hanya RM49 untuk dewasa dan RM39 bagi kanak-kanak, Aquaria KLCC adalah tempat yang wajib dilawati bersama-sama dengan keluarga ketika musim perayaan dan cuti sekolah kali ini.

Aquaria KLCC turut menyediakan perkhidmatan pembelian tiket atas talian di www.aquariaklcc.com. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.aquariaklcc.com

tex_admin