Categories: Acara

‘Pesona Santubong’ meriahkan Malam Media Pelancongan Sarawak 2019

‘Pesona Santubong’ yang dipersembahkan Lembaga Pelancongan Sarawak memukau lebih 100 media yang hadir pada majlis Malam Media 2019 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Persembahan teater kebudayaan dari negeri yang terkenal dengan jolokan Bumi Kenyalang yang julung kali diadakan itu menggabungkan makan malam dengan menu istimewa dari Sarawak, suasana meriah seakan-akan berada di bumi Sarawak dan festival kebudayaan yang mengujakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Sharzede Salleh Askor. Foto:  NSTP/SALHANI IBRAHIM

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Sharzede Datu Salleh Askor, berkata legenda Sarawak yang cukup terkenal iaitu Santubong dan Sejinjang sengaja diangkat untuk tontonan pihak media lantaran keistimewaan kisah berkenaan.

“Persembahan kebudayaan ini mengisahkan legenda terkenal, Puteri Santubong yang ada cerita tersendiri dan mengandungi banyak pengajaran untuk ditawarkan kepada pelancong yang datang ke Sarawak, terutama jika ingin mengunjungi gunung di Sarawak.

“Kami berharap persembahan ini juga meninggalkan kesan dalam hati sesiapa sahaja yang melihatnya dan akan membuatkan mereka mahu kembali lagi mengunjungi Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan yang berlangsung di Hotel Hilton, Kuala Lumpur.

Dua penari daripada kumpulan kebudayaan yang menggambarkan hubungan Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang mengadakan persembahan pada majlis Malam Media Pelancongan Sarawak 2019, di Kuala Lumpur, baru -baru ini. Foto:  NSTP/SALHANI IBRAHIM. NSTP/SALHANI IBRAHIM

Dewan utama hotel berkenaan diubah menjadi lokasi tanah mitos dan ajaib di Kampung Pasir Putih dan Kampung Pasir Kuning daripada legenda Santubong, manakala artis kebudayaan dan teater memukau hadirin dengan persembahan instrumen muzik sape.

Lebih mendamaikan apabila dekorasi dewan juga diselitkan tumbuhan hijau seolah-olah khalayak berada di dalam hutan hujan yang menyegarkan dan tambah mengagumkan dengan adanya bunyi desir bayu serta aliran air sungai.

Idayu AF turut mengiburkan tetamu di majlis Malam Media Pelancongan Sarawak 2019. Foto: NSTP/SALHANI IBRAHIM

Sharzede berkata, Sarawak mempunyai banyak elemen menarik untuk ditawarkan kepada pelancong dan berharap pengalaman sebenar yang dibawakan oleh pihaknya akan memberikan sesuatu yang bermanfaat dalam kalangan media untuk dikongsi dengan khalayak awam.

“Program malam media ini tentunya seiring dengan kepercayaan kita bahawa pendekatan ‘Pelancongan Eksperimen’ ini akan memberi banyak pengetahuan untuk dikongsi dengan pelancong dan dunia.

“Sarawak mempunyai begitu banyak tarikan dari segi budaya, pengembaraan, alam, makanan dan perayaan. Sejajar dengan kempen Sarawak, Lebih Banyak Untuk Diteroka, kami menjalankan pelbagai aktiviti melibatkan media dan wawancara untuk menguar-uarkan mengenai keindahan dan keistimewaan Sarawak,” katanya.

Majlis berkenaan tambah meriah apabila media dihidangkan dengan pelbagai menu istimewa dari Bumi Kenyalang seperti laksa Sarawak, nasi Bario dengan dabai, manok pangsuh gulung bersama pucuk ubi, kambing masak kicap lada hitam, sayur midin goreng belacan bersama udang dan kek lapis.

Shaidah Shafie