Band rock Barbarik bakal menggegarkan pentas Zepp Kuala Lumpur menerusi konsert istimewa bertajuk Barbarik Pentas Peluru Cokelat yang dijadual berlangsung pada 28 Jun 2025 (Sabtu), jam 8.30 malam.
Konsert yang dibawakan oleh Karri Talk Production dengan kerjasama Pentas Barbarik Sdn. Bhd. ini diadakan bersempena pelancaran album sulung mereka, Peluru Cokelat yang dilahirkan pada 9 November tahun lalu.
Meskipun baru tiga tahun bertapak dalam arena muzik, kumpulan yang dianggotai oleh Muss (vokal), JoBranko (gitar), Rozaimi (bass) dan Ainol (dram) ini telah mengukir nama dengan kejayaan empat konsert terdahulu: Barbarik Pentas Keras 1.0 (2022), Double Trouble 2: Search X Barbarik (2023), Barbarik Pentas Keras 2.0 (2023) dan Barbarik Pentas Keras 3.0 (2024).

Namun, konsert kali ini cukup istimewa kerana buat pertama kalinya Barbarik akan membawakan sepenuhnya lagu-lagu ciptaan mereka sendiri dari album Peluru Cokelat.
“Jika sebelum ini kami mendendangkan lagu-lagu ketika Muss bersama Wings iaitu dalam enam buah album, tetapi kali ini ada buah tangan baharu yang menampilkan identiti band Barbarik itu sendiri.
“Setiap konsert pasti mempunyai perbezaan dan terdapat elemen kejutan pada pembukaan, pertengahan dan penutup konsert. Kami memberi jaminan kepada semua peminat, konsert ini bakal menguji andrenalin anda secara total dari mula hingga akhir.
“Konsert akan berlangsung selama dua jam dan kami akan mendendangkan sekitar 20 buah lagu, termasuk lagu lama dan juga lagu baharu.
“Apa yang boleh kami janjikan adalah sebuah persembahan yang membuatkan penonton tidak berganjak walau sedikit pun,” kata JoBranko.

Penonton akan berpeluang menghayati rendisi lagu lagu baru dan lama, gandingan legenda muzik rock Muss dan Jobranko berserta Rozaimi, Ainol dan pemuzik undangan mereka dalam sebuah persembahan selama 2 jam ini. Dijangka sebanyak 20 buah lagu akan dimainkan di pentas.
Penonton juga akan dibawa melewati garis masa era 1980an dan 1990an dengan lagu lagu malar segar dalam segmen ‘Retro Akustika’ bersama barisan gitaris undangan iaitu Shah Slam, Ujang Tukimon, Muzza dan semestinya Jobranko, diiringi oleh 8 orang barisan ‘string octet’.
Identiti Rock dan Semangat Serius Barbarik
Album Peluru Cokelat menjadi simbol kesungguhan Barbarik dalam membina nama sebagai band rock yang membawa semangat era 80-an dan 90-an, namun kekal relevan dengan sentuhan kontemporari.
Kemunculan Barbarik pada asalnya tercetus menerusi konsert Barbarik Pentas Keras 1.0 pada 24 Disember 2022, yang menjadi medan mempertemukan kembali dua bekas anggota Wings, JoBranko dan Muss, selepas lebih dua dekad.
Konsert itu juga bertindak sebagai ‘penebus hutang’ kepada peminat, apabila Muss akhirnya berpeluang menyanyikan karya era Mr. Barbarik secara langsung dan ia merupakan sesuatu yang tidak kesampaian ketika bersama Wings.
“Tujuan kami menghasilkan album Peluru Cokelat adalah untuk menandakan bahawa kami serius sebagai sebuah band. Bukan sekadar sebuah projek band atau mengambil kesempatan atas sejarah kami.
“Dengan ada material baharu, kami dapat bergerak dan menyusun strategi dengan lebih kemas untuk terus berada dalam radar muzik mainstream tempatan. Jika peminat mendengar album Peluru Cokelat, mereka akan tahu inilah identiti band Barbarik,” tambah JoBranko.
Album ini merangkumi tujuh buah lagu termasuk Peluru Cokelat, Golok Kayu (featuring Karl Cromok), Didakap Pesona, Kasmaran Selamanya, Nasib Baik, Marcapada, Gelap Nan Terang (instrumental) serta versi radio edit bagi Didakap Pesona.
Kesemua lagu digubah oleh JoBranko, manakala lirik ditulis oleh barisan penulis terkenal seperti Nasir Jani, Muss, Bambino, Nuar Botak dan JoBranko sendiri. Proses mastering pula disempurnakan oleh Don Bartley di Benchmark Mastering, Brisbane, Australia.
Album dalam 4 Format, Bukti Komitmen Luar Biasa
Menariknya, album Peluru Cokelat dilancarkan dalam empat format berbeza – cakera padat, piring hitam, kad USB dan versi digital yang dihantar melalui emel. Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira permintaan tinggi daripada peminat yang masih menghargai sentuhan fizikal dalam koleksi muzik mereka.
“Kami cuba beradaptasi dengan teknologi melalui pemasaran album secara digital, tetapi ramai daripada kalangan peminat kami adalah ‘collector’ dan permintaan terhadap album fizikal memang sangat memberansangkan.
“Jika diikutkan memang kami buat kerja gila, mana ada lagi penyanyi yang keluarkan album fizikal pada zaman ini. Tetapi kami mendengar permintaan peminat yang masih mahukan album fizikal dan bagi saya sendiri album fizikal ada nostalgia yang tersendiri,” kata JoBranko.
Album ini boleh didapati di laman rasmi Shopee menerusi akaun Pentas Barbarik Store.
Warisan Nama Barbarik
Nama Barbarik sendiri diangkat daripada album ikonik Mr. Barbarik (2000), album ke-9 Wings dan kali ketiga menampilkan Muss sebagai vokalis. Kini, Barbarik berdiri sebagai sebuah band tersendiri, namun terus membawa semangat dan nilai perjuangan yang pernah diterapkan dalam karya asal mereka.
Malah, nama Barbarik turut merujuk kepada watak pahlawan dari Epik Mahabharata yang memiliki kekuatan luar biasa dan berjuang demi kebaikan sejagat, satu simbol yang kini dihidupkan semula dalam bentuk muzik.
Konsert Barbarik Pentas Peluru Cokelat akan berlangsung pada Sabtu, 28 Jun 2025, bertempat di Zepp Kuala Lumpur. Acara dijadualkan bermula pada jam 8.30 malam, menjanjikan persembahan bertenaga dan penuh kejutan daripada band rock Barbarik.
Harga tiket ditawarkan dalam beberapa kategori iaitu Cat 1 Free Standing pada harga RM150, Cat 2 VVIP Seating berharga RM380, dan Cat 3 VIP Seating dengan harga RM280. Bagi peminat tegar yang inginkan pengalaman eksklusif, tersedia juga VIP Box + Meet & Greet dengan harga RM8,000.
Tiket boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman web rasmi ilassotickets.com.








