Categories: Eat Travel

Jalan Kwai Chai Hong tempat ‘insta-worthy’ tersembunyi di tengah-tengah Kuala Lumpur

Oleh Syarifah Fatin Anisa

Jika kesibukan masa menghalang anda daripada melawat tempat menarik di sekitar negara yang mengimbas kenangan lama, Jalan Kwai Chai Hong ialah lokasi paling sesuai untuk anda.

Dengan mural yang menarik, Lorong Panggung atau dalam bahasa Kantonis, Jalan Kwai Chai Hong mempunyai tarikan yang tersendiri.

Tidak ingin membiarkan generasi baharu melupakan tinggalan sejarah yang unik ini, pihak pengurusan Bai Chuan telah membaik pulih 10 rumah kedai yang berdekatan dengan Petaling Street.

Terletak di tengah-tengah nadi Kuala Lumpur, lorong itu dijangka bakal menjadi tarikan pengunjung di dalam mahupun luar negara.

Berikut adalah antara fakta menarik mengenai Jalan Kwai Chai Hong:

Foto: NSTP/SUPIAN AHMAD

Sejarah unik

Terdapat banyak versi cerita bagaimana jalan ini dikenali sebagai Kwai Chai Hong.

Ada yang berpendapat bahawa ia merupakan panggilan kepada anak-anak kecil oleh ibu bapa mereka yang merupakan golongan pendatang dari China.

Disebabkan tiada pendidikan yang formal, maka mereka memanggil anak-anak mereka dengan panggilan seperti syaitan kecil.

Selain itu, aktiviti perjudian dan gangster serta keganasan juga dikaitkan dengan nama lorong ini.

Kwai Chai Hong yang membawa maksud syaitan kecil adalah amat bersesuaian dengan kisah-kisah di sebalik nama lorong ini.

Foto: NSTP/SUPIAN AHMAD

Tinggalan generasi lama

Memandangkan lokasi itu ialah penempatan lama yang pernah didiami golongan pendatang sejak awal kurun ke-18, maka banyak artifak lama yang ditinggalkan.

Antara yang menarik, sebuah tiang lampu dari tahun 1900-an dijumpai di sana.

Bagi mengekalkan keunikan rekaan sedia ada, pihak pengurusan hanya membaik pulih rumah-rumah kedai terbabit.

Foto: NSTP/SUPIAN AHMAD

Seolah-olah kembali ke zaman silam

Bagi memastikan pengunjung dapat merasai sendiri pengalaman seolah-olah di zaman kegemilangan lorong itu, kod QR turut disediakan di sepanjang mural di dinding.

Cerita-cerita mengenai sejarah lorong terbabit akan disampaikan melalui rakaman suara setelah anda mengimbas kod QR itu.

Foto: NSTP/SUPIAN AHMAD

Mudah bukan?

Kunjungilah Jalan Kwai Chai Hong sekarang untuk merasai keseronokannya.

tex_admin