Categories: Eat Travel

Jom Cabar Diri Anda Dengan Makan Burger Ramen Yang Pedas Ini. Ada Berani?

Kalau cerita mengenai ramen atau ramyeon, mesti anda sudah tahu ianya mi segera yang sangat popular dekat Korea kan? Dekat Malaysia juga terkena tempiasnya, apabila ramai dalam kalangan kita yang suka makan ramen ini. Rasa kepedasan yang menyengat dikatakan sebagai satu cabaran untuk menghabiskan sepinggan ramen ini.

Tapi, pernah tak anda terfikir untuk mencuba hidangan unik gabungan ramen dan burger? Agak-agak sedap ke? Kalau anda nak tahu, Burger On Faaaiya ada menjual gabungan burger pedas ramen ini yang ternyata menjadi kegilaan ramai! 

Foto: Facebook Rizalhakimm

Foto: Facebook Rizalhakimm

Nampak macam sedap! Sebenarnya idea gabungan unik ini dicetuskan oleh dua anak muda iaitu Ashraf Reza dan Faez Feilzha yang masing-masing berusia 22 tahun dengan membuka gerai burger di Jalan Anak Bukit, Titi Gajah, Alor Setar, Kedah.

Menurut dua anak muda tersebut, mereka mula menjual burger ramen awal tahun ini untuk mencari kelainan, idea daripada Faez yang belajar kulinari di Universiti Nilai.

“Kami tengok ramen jenama Samyang mula popular di Malaysia terutamanya dalam kalangan remaja lelaki mahupun perempuan, dari situ kita buat eksperimen. Beberapa kali buat, dan jual Januari lepas,” katanya kepada Malay Mail Online.

Foto: Facebook Rizalhakimm

Selain itu, burger ramen yang mereka jual menggunakan daging buatan sendiri, telur, ramen pedas, mozzarella, salad dan sos cili. Ianya dijual dengan harga RM7. Semenjak gerai mereka viral hujung Mac lalu, 80 paket ramen jenama Samyang dihabiskan setiap minggu. Hebat!

Bagi anda yang berada di sekitar Alor Setar bolehlah merasai sendiri kesedapan burger ramen ini. Kalau ada jual dekat sekitar Lembah Klang kan bagus, bolehlah penulis pergi rasa sendiri!

Sumber: Malaymail

tex_admin