Categories: Eat Travel

Pasar Terapung Bandung, Lokasi Wajib Dikunjungi Ketika Di Indonesia

Tahukah anda di Bandung, Indonesia juga terdapat floating market atau pasar terapung tradisional seakan-akan di Bangkok dan Hatyai, Thailand? 

Terletak berdekatan Farmhouse Susu Lembang, pasar terapung ini semakin popular dalam kalangan pelancong tempatan mahupun luar negara.

Foto: Floating Market Lembang

Berada di pasar terapung ini membuatkan kita rambang mata. Terlalu banyak makanan Indonesia yang menyelerakan. Perut yang kenyang pun akan terasa lapar apabila melihat satu demi satu hidangan yang tersedia di 46 buah perahu yang terdapat di sini.

Antara makanan yang boleh dibeli ialah bakso bakar, tauhu susu Lembang, gado-gado, lontong kari sapi, es pisang ijo, pisang goreng keju, rojak, kentang goreng, sate kelinci (arnab), soto Bandung, otak-otak, wedang ronde, ayam penyet dan martabak mini.

Foto: borukaro.com

Untuk berbelanja anda harus menggunakan syiling yang disediakan oleh pihak pengurusan. Terdapat syiling Rp5,000. Rp10,000, Rp20,000, dan Rp50,000.

Perlu diingatkan syiling yang telah ditukar tidak boleh dipulangkan kembali. Oleh itu, jangan buat tukaran dalam jumlah yang banyak.

Foto: infobisnis.id

Selain menjamu selera, terdapat juga tarikan-tarikan lain untuk kanak-kanak. Ada Taman Miniatur Kereta api, Pancing Magnet, Kereta Api Mini dan Taman Arnab.

Harga tiket masuk ke Pasar Terapung Lembang cukup murah iaitu Rp. 15,000 (RM4.20) sahaja. Tiket ini pula boleh ditukar dengan minuman percuma seperti kopi, teh limau ais, cappuccino atau coklat panas.

Foto: Holiday Villa Lembang

Sumber: mStar

Yanie Baharom