Categories: Eat Travel

Resipi bancuhan air Milo seperti trak Milo, sedapnya!

Sebut sahaja trak Milo, pasti kita semua akan mengimbau kembali kenangan ketika zaman persekolahan. Sewaktu trak Milo datang ke sekolah sama ada ketika Hari Sukan, Hari Kantin atau apa sahaja aktiviti yang berlangsung di sekolah, pasti murid atau pelajar menjadi teruja dan sanggup beratur panjang untuk mendapatkan minuman percuma itu walaupun cuaca panas terik.

Air Milo daripada trak ini mempunyai rasa uniknya yang tersendiri dan memang sedap. Saat airnya sejuk mengalir di tekak, memang terasa lega dan puas. Secawan memang tak cukup, sampai sangguplah untuk beratur sekali lagi.

Kredit gambar: SK Agama Bintulu

Apabila dah meningkat dewasa, pasti ada yang merindui momen tersebut bukan? Kalau mahu beli di kedai atau bancuh sendiri rasanya pasti tidak sama seperti yang dibuat oleh pekerja trak Milo.

Seorang pemuda bernama Syahrin berkongsi resipi bancuhan Milo yang diperoleh menerusi pengamatannya ketika pekerja trak Milo membancuh air.

Bagaimanapun, resipi yang dikongsi merupakan untuk bancuhan berskala besar, sesuailah bagi mereka yang ingin mengadakan jamuan untuk tetamu yang ramai.

Bahan yang diperlukan:

  • 8 tin susu pekat
  • 8 tin susu cair
  • 4 liter air panas
  • 4 paket Milo 1 kg (jumlah keseluruhan 4 kg)
  • Ketulan ais

Cara penyediaan:

  1. Masukkan susu cair dan susu pekat ke dalam bekas air.
  2. Kemudian masukkan serbuk Milo.
  3. Seterusnya, masukkan air panas dan kacau sehingga campuran menjadi rata dan sebati.
  4. Akhir sekali masukkan ketulan ais ke dalam bancuhan tadi.

Bagi bancuhan yang berskala kecil, anda mungkin boleh menggunakan sukatan di bawah.

Kredit gambar: Milo.com.my

Bahan yang diperlukan:

  • 10 sudu besar serbuk Milo
  • Setengah liter air panas
  • Setengah liter air sejuk
  • Setengah tin susu cair
  • Setengah tin susu pekat

Jadi selepas ini kalau mengidam tidak perlulah lagi nak mencari trak Milo atau membazir duit membeli air Milo di luar. Anda hanya boleh buat sahaja sendiri di rumah. Selain jimat kos serta mudah untuk disediakan, rasanya sangat sedap. Memang puas hati dan berbaloi, selamat mencuba!

Ad Ops