Categories: familuv

5 cara menghukum anak yang dilarang dalam Islam

Cara anda mendidik dan menghukum anak ketika mereka masih kecil akan mempengaruhi emosi, personaliti serta sikap mereka apabila mereka besar kelak.

Itu sebabnya anda perlu hati-hati sebagai ibu atau bapanya. Jika anda sedang meradang, emosi anda akan terbawa-bawa dan akhirnya anak anda menjadi mangsa, walaupun anda berniat hanya untuk mengajarnya.

Sebenarnya niat sebegini tidak salah, tetapi perbuatan anda ada hadnya, khususnya dalam keluarga yang mengamalkan ajaran Islam.

Sebelum anda ingin menghukum anak anda, berhenti dan berfikir sejenak mengenai lima larangan dalam mendidik anak mengikut Islam.

1. Jangan memukul wajah anak

Jika tangan anda ‘melayang,’ bahagian pertama pada badan anak anda yang anda sasarkan selalunya ialah mukanya. Jangan!

Rasulullah SAW melarang perbuatan ini berdasarkan sabdanya, “Jika salah seorang dari kamu memukul, maka hendaknya dia menjauhi (memukul) wajah.”

2. Jangan terlalu menunjukkan kemarahan anda

Apabila anak anda buat salah, semestinya anda akan naik angin. Supaya dia merasa takut dan akan mendengar kata pada masa hadapan, anda mungkin akan bertindak ganas.

Perbuatan ini dilarang sama sekali dan bertentangan dengan amalan Rasulullah S.A.W: “Bukanlah orang yang kuat itu diukur dengan kuatnya dia berlawan, tetapi orang yang kuat adalah yang mampu menahan dirinya ketika marah.”

Foto: babble.com

3. Jangan Memukul Dalam Keadaan Teramat Marah

Tidak salah untuk memukul anak, tetapi jangan biar sampai anda terbawa-bawa dengan emosi. Pastikan fikiran anda tenang terlebih dahulu supaya anda lebih faham kenapa anda menghukumnya.

Abu Mas’ud al-Badri berkata: “(Suatu hari) aku memukul budakku (yang masih kecil) dengan cemeti, maka aku mendengar suara (teguran) dari belakangku. ‘Ketahuilah, wahai Abu Mas’ud!’

“Akan tetapi, aku tidak mengenali suara tersebut kerena kemarahan (yang sangat). Ketika pemilik suara itu mendekat, maka ternyata dia adalah Rasulullah SAW.

“Baginda berkata, ‘Ketahuilah, wahai Abu Mas’ud! Ketahuilah, wahai Abu Mas’ud!’

“Maka aku pun melempar cemeti dari tanganku, kemudian beliau bersabda, ‘Ketahuilah, wahai Abu Mas’ud! Sesungguhnya Allah lebih mampu untuk (menyeksa) kamu daripada apa yang kamu seksakan terhadap budak ini,’

“Maka aku pun berkata, ‘Aku tidak akan memukul budak selamanya setelah (hari) ini.”

4. Jangan bersikap terlalu kasar

Apabila kemarahan membuak-buak, anda berpotensi untuk bertindak ganas dengan menumbuk dinding atau membaling barang.

Hal ini bukan sahaja akan menakutkan anak anda pada ketika itu, tetapi ia akan meninggalkan trauma untuk jangka masa panjang.

Sikap pemarah ini ternyata bertentangan dengan sifat lemah lembut yang disarankan dalam Islam berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang terhalang dari sifat lemah lembut, maka dia akan terhalang dari mendapat kebaikan.”

Foto: ST

5. Jangan memukul dengan sesuatu yang keras hingga meninggalkan bekas

Apabila anda menghukum anak dengan pukulan, jangan biarkan diri anda dipengaruhi oleh emosi hingga hukuman anda berlebihan.

Sekiranya tindakan anda di luar kawalan, besar kemungkinan ‘pukulan’ anda akan meninggalkan bekas. Perkara ini juga dilarang oleh Rasulullah S.A.W.

Sebelum anda memukul, ingat dan tahan diri anda daripada memukul secara keterlaluan.

Secara kesimpulannya, hukum anak anda berpada-pada. Ingat ajaran Islam.

Sumber: theAsianparent

Ad Ops