Categories: FeaturedSihat

3 punca kematian akibat COVID-19

Kematian akibat COVID-19 terus meningkat di seluruh dunia (Gambar hiasan/AFP)

Kegagalan pesakit yang dijangkiti COVID-19 mendapatkan rawatan segera di pusat perubatan dikenal pasti antara tiga punca kematian akibat jangkitan koronavirus itu.

Dua lagi faktor kematian yang berpunca daripada jangkitan COVID-19 membabitkan pesakit yang sudah berumur atau mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, masalah pernafasan dan  penyakit berkaitan jantung.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kebanyakan kes kematian akibat COVID-19 di negara ini membabitkan satu daripada tiga faktor berkenaan.

“Kematian akibat COVID-19 di Malaysia setakat ini berpunca daripada umur pesakit yang sudah tua, selain kebanyakannya dikesan sudah mempunyai penyakit kronik sebelum ini.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga mendapati ada pesakit yang tidak tersenarai dalam dua faktor berkenaan, tetapi lambat datang untuk mendapatkan rawatan walaupun sudah menunjukkan gejala berkaitan COVID-19 beberapa hari sebelum itu,” katanya pada sidang media berkaitan COVID-19, pada Jumaat lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: 44 kes positif COVID-19 sembuh dan dibenarkan pulang

Petugas Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan ujian calitan pada individu yang hadir pada sesi ujian saringandi Shah Alam, baru-baru ini. (Gambar NSTP/OSMAN ADNAN)

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai gejala berkaitan COVID-19 perlu melakukan saringan di pusat kesihatan yang disediakan di seluruh negara.

Sementara itu, Pusat Kesiapsagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan tiga kematian baharu berkaitan COVID-19 direkodkan sehingga tengah hari Jumaat, menjadikan jumlah kematian di negara ini sebanyak 26 kes.

Selain itu, sebanyak 130 kes baharu positif COVID19 dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan di Malaysia 2,161 kes dan daripada jumlah itu, seramai 259 pesakit disahkan sembuh serta dibenarkan pulang, manakala jumlah kes yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi adalah 54 orang.

ARTIKEL BERKAITAN: Tunku Azizah mohon rakyat doakan keselamatan baginda sekeluarga

Pasukan Bomba dan Penyelamat menjalankan operasi nyahcemar di sebuah Madrasah selepas seorang pelajar positif COVID-19. (Gambar ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)

Kes kematian ke-24 (kes ke-1,056) membabitkan lelaki warganegara Malaysia berumur 35 tahun dan mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia. Beliau dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan disahkan meninggal dunia pada 26 Mac 2020 jam 9.30 malam.

Kes kematian ke-25 (kes ke-2,032) pula membabitkan lelaki warganegara Malaysia berumur 83 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan disahkan meninggal dunia pada 26 Mac 2020 jam 6.55 petang.

Kes kematian ke-26 (kes ke1,321) adalah lelaki warganegara Malaysia berumur 53 tahun dan merupakan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes 1,309). Beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh dan disahkan meninggal dunia pada 27 Mac 2020 jam 10.30 pagi.

Fadzlena Jafar