Categories: FeaturedSihat

6 amalan ini mampu meningkatkan sistem imunisasi badan

Sistem imunisasi badan yang baik sangat penting dalam mengekalkan kesihatan dan mengelakkan diri daripada jangkitan penyakit atau virus yang boleh memudaratkan diri.

Sehubungan itu, amalan gaya hidup dan pemakanan sihat amat penting untuk meningkatkan sistem imun badan.

Berikut merupakan panduan dan amalan yang dikongsi perunding kesihatan serta jurulatih kecergasan, Kevin Zahri bagi memastikan pertahanan badan kuat sekali gus mampu meningkatkan rintangan daripada diserang pelbagai jangkitan virus dan bakteria.

1. Senaman

Aktiviti ini dapat meningkatkan kecergasan dan kemampuan badan untuk melawan serangan kuman, malah peningkatan aktiviti pernafasan ketika bersenam juga mampu membantu mencegah bakteria.

2. Tidur

Tidur yang mencukupi adalah satu cara untuk membina sistem imunisasi badan yang kuat. Kurang tidur boleh melemah dan mengurangkan kemampuan badan untuk berdepan serangan bakteria. Oleh itu, amat penting untuk seseorang itu memberi kepentingan pada kualiti dan kuantiti rehat yang disarankan untuk kesihatan badan.

3. Pemakanan sihat

Amalkan pengambilan minuman dan makanan probiotik seperti dadih, cuka epal sider, kombucha, kimchi serta tapai kerana dapat membekalkan jutaan bakteria sihat bagi merangsang sistem imunisasi untuk lebih aktif.

4. Air

Pengambilan air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bukan sahaja dapat kekalkan fungsi badan, tetapi penting untuk meningkat dan mempercepatkan pembuangan toksin serta bahan yang tidak diperlukan dalam badan.

5. Vitamin

Vitamin dan antioksidan mampu menjadikan sistem imunisasi tubuh menjadi lebih kuat. Pengambilan makanan yang mengandungi vitamin A, B6, B12, C, D, E atau mempelbagaikan pengambilan buah dan sayur-sayuran mampu meningkatkan daya ketahanan badan, sekali gus mengelakkan diri daripada mudah jatuh sakit.

6. Jangan merokok

Akhir sekali, jangan merokok kerana tabiat merokok dan impak tembakau mampu melemahkan sistem imunisasi badan, paru-paru dan disyaki lebih cenderung kepada penyakit seperti radang paru-paru serta influenza.

Semoga panduan yang dikongsi Kevin dapat membantu anda untuk menguatkan sistem imunisasi badan, sekali gus mencegah daripada dijangkiti wabak penyakit.

Sumber: Instagram Kevin Zahri

Ad Ops