Categories: FeaturedGaya Hidup

Bersenam memakai pelitup muka, bahaya atau tidak?

Tidak dinafikan ramai pihak pastinya teruja dengan kelonggaran yang diberikan Kerajaan untuk membenarkan aktiviti sukan dan bersenam dilakukan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei lalu.

Mana tidaknya, setelah hampir dua bulan perlu duduk di rumah berikutan penguatkuasaan PKP, pasti ramai yang rindu untuk melakukan aktiviti riadah di luar rumah.

Kredit gambar: Daily Mirror

Bagaimanapun, orang ramai perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan seperti tidak melakukan sebarang aktiviti kecergasan melibatkan kontak, elakkan tempat yang padat, menitikberatkan aspek kebersihan sebelum dan selepas bersenam serta mengamalkan penjarakan sosial bagi mengurangkan risiko COVID-19.

Ketika melakukan aktiviti senaman di luar rumah, orang ramai juga perlu berhati-hati dengan risiko yang mungkin berlaku. Baru-baru ini, gempar di laman sosial Weibo di China apabila seorang lelaki mengalami sakit dada dan sesak nafas selepas melakukan rutin larian (joging) di luar rumah.

Menerusi laporan yang disiarkan laman sesawang FOX News, pemeriksaan yang dilakukan doktor di Hospital Wuhan, mendapati 90 peratus paru-paru kiri pesakit berkenaan mengalami tekanan dan posisi jantung bergerak ke bahagian kanan tubuhnya.

Gambar hiasan/ Kredit gambar: Radiopaedia

Situasi berkenaan dikenali sebagai pneumothorax atau collapsed lung di mana udara keluar daripada paru-paru. Menurut pihak hospital, hal itu berlaku dipercayai kerana pesakit berlari sambil memakai topeng muka.

Berdasarkan siasatan, lelaki berusia 26 tahun itu mula melakukan aktiviti berlari dengan jarak kira-kira 3 hingga 6 kilometer selepas China menarik balik perintah berkurung pada 9 April lalu.

Kredit gambar: EdisiViral

Pesakit itu berlari sambil memakai topeng muka kerana ingin mengelakkan jangkitan wabak, namun rutin yang dilakukan selama dua minggu itu menyebabkannya mengalami masalah kesukaran bernafas dan akhirnya menjadi lebih teruk.

Pesakit itu difahamkan sudah menjalani pembedahan dan keadaannya kini stabil. Apa yang berlaku mungkin boleh dijadikan iktibar untuk orang ramai supaya lebih berjaga-jaga ketika melakukan aktiviti kecergasan di luar rumah.

Jika risau atau bimbang mengenai risiko yang mungkin boleh berlaku ketika bersenam di luar, anda boleh sahaja menyahut saranan Kerajaan dengan hanya melakukan aktiviti bersenam di rumah kerana terdapat pelbagai rutin kecergasan yang boleh dilakukan.

Semoga bermanfaat!

Ad Ops