Categories: familuvFeatured

Doktor Ini Kongsi Tip Mudah Untuk Pujuk Anak Makan Ubat

Bagi anda yang mempunyai anak kecil pastinya akan ‘berperang’ tatkala nak beri mereka makan ubat kan? Kalau dapat anak yang senang nak makan ubat, memang tak jadi satu masalah.

Tapi, bagi anak yang takut makan ubat, memang ibu terpaksalah ‘kepit’ anak untuk beri ubat. Sampai tertumpah-tumpah ubatnya!

Jangan risau, mungkin anda boleh ikuti tip yang dikongsikan oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad tentang cara-cara untuk beri anak ubat dengan cara yang lebih berkesan. Jom semak!

1. Jangan paksa anak

Sebaiknya, jangan paksa anak anda. Ini kerana, jika dipaksa dalam keadaan anak tidak bersedia, ia akan menyebabkan anak akan meronta, memuntahkan semula atau berlari sekeliling rumah. Anda perlu pujuk, beritahu kenapa mereka harus mengambil ubat tertentu dan berikan dengan penuh kasih sayang.

2. Berikan ubat yang perlu saja

Sebagai contoh jika anak anda agak sukar mengambil ubat, cuba minta nasihat doktor agar memberikan dua kesan sekali gus. Contoh ubat demam yang dapat mengurangkan rasa sakit. Ubat batuk yang dapat mengurangkan selsema. Ini akan memudahkan tugas anda memberikan ubat untuk anak.

3. Berikan ubat dalam jumlah yang sedikit

Anda juga boleh berikan anak ubat dengan jumlah yang sedikit, demi sedikit dengan menggunakan picagari. Mungkin setiap kali berikan 1 ml sahaja. Ambil sedikit masa untuk anak menghabiskan 5 mlm ubat ataupun mengikut sukatan yang doktor berikan.

4. Campurkan dengan madu

Bagi anak yang berusia 2 tahun ke atas, berikan ubat dan campurkan sedikit madu bagi membantu mengurangkan rasa pahit ubat yang bakal ditelan.

5. Air yang mencukupi

Berikan anak anda air putih yang mencukupi dalam beberapa jam sebelum ubat diberikan. Anak yang mengalami dehidrasi selalunya lidah mereka lebih sensitif dan lebih mudah menolak ubat yang rasanya pahit.

6. Masukkan ubat dari tepi lidah

Anda perlulah masukkan ubat dari tepi lidah supaya anak tidak mudah tercekik.

7. Ubat masuk punggung

Terdapat beberapa jenis ubat yang diformulasikan sebagai suppositories (ubat masuk punggung) terutamanya ubat demam. Ubat ini lebih mudah diberikan pada anak. Boleh gunakan ubat ini dengan meletakkan sedikit minyak bagi memudahkan masuk ke dalam punggung.

8. Kasih sayang

Tunjukkan kasih sayang ketika memberikan ubat pada anak, kerana pada masa itu anak-anak mahu rasa selamat, dilindungi dan disayangi. Memarahi anak bukan cara terbaik untuk memujuk anak makan ubat!

Semoga bermanfaat!

Sumber: Facebook

tex_admin