Bukan saja meraih kemenangan besar di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, malam tadi, dengan membawa pulang keseluruhan lima trofi, pasangan suami-isteri sensasi, Fazura Sharifuddin dan Fattah Amin paling memukau di sesi permaidani merah ABPBH.
Acara gilang-gemilang bertemakan Infiniti yang berlangsung di dewan utama Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu, menyaksikan pasangan sama cantik sama padan itu yang mengenakan busana sentuhan Rizman Ruzaini, hadir berpimpinan tangan, malah kemunculan mereka itu menerima sorakan gamat peminat.
Sesi permaidani merah ABPBH31, sememangnya berlangsung dalam suasana yang cukup meriah dengan sorakan peminat yang teruja melihat barisan artis kesayangan melintasi laluan tumpuan itu.
Selain Fazura dan Fattah, turut mencuri tumpuan pelakon, Fasha Sandha yang bergaya mengenakan gaun hitam berkilau juga rekaan Rizman Ruzaini.
Dia yang ditemani Aidil Aziz, diberi penghormatan melalui permaidani merah bersama penaja utama ABPBH31, Datuk Alha Alfa.
Lebih menggamit perhatian apabila calon kategori Pelakon TV Wanita Popular itu turut ditemani adiknya, Elisya Sandha yang memakai persalinan hampir sama umpama pasangan kembar.
Mencuri tumpuan lensa malam itu tentunya pasangan dikatakan bercinta iaitu pelawak, Zizan Razak dan Mira Filzah yang hadir mengenakan persalinan rona sedondon, light grey!
Antara artis lain yang turut menerima sorakan ramai adalah Nabila Razali, Rita Rudaini, Amy Mastura, Amelia Henderson, Zul Ariffin, Zahirah MacWilson, Sangeetha, Sarah Suhairi, Khai Bahar, Wany Hasrita, Siti Nordiana, Emma Maembong dan Aiman Tino.