Categories: FeaturedSihat

KKM tingkat keupayaan makmal bagi lakukan 22,000 ujian pengesanan COVID-19

Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempertingkat keupayaan makmal untuk melakukan 22,000 ujian pengesanan COVID-19 selewat-lewatnya minggu depan.

Ketika ini, KKM mempunyai 43 makmal di seluruh negara yang mampu melakukan 16,300 ujian pengesanan COVID-19 hasil kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk sektor swasta.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagi memastikan makmal di negara ini mampu menampung keperluan saringan COVID-19, KKM menaik taraf kemudahan di dua makmal yang dijangka mampu melakukan 6,000 ujian sehari.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (kanan) ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. (Gambar BERNAMA)

“Hari ini kapasiti kita ialah 16,635, tetapi kita melakukan 10, 858 ujian pengesanan.  Baru-baru ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sudah dipasang dengan sistem pemprosesan DGI yang diharap dapat melakukan 5,000 ujian sehari.

“Selain itu, program sama turut dipasang di Makmal Kesihatan Awam di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu yang mampu melakukan 1,000 ujian pengesanan. Ini bermakna apabila kedua-duanya mula beroperasi, KKM dapat melakukan 22,000 ujian pengesanan sehari,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19, di Putrajaya, hari ini.

Sistem baharu di IMR itu dijangka mula beroperasi hujung minggu ini diikuti Hospital Queen Elizabeth pada fasa kedua, minggu depan.

KKM yang bermula dengan 23 makmal pada awal penularan COVID-19, kini mempunyai 43 makmal termasuk kerjasama dengan lima makmal swasta dan dijangka beberapa makmal lagi akan mula beroperasi bagi melakukan ujian pengesanan COVID-19 iaitu di Bintulu dan Sibu.

Petugas barisan hadapan KKM melakukan ujian saringan kepada penduduk Flat Blok Beringin kawasan Selayang Baru pada tinjauan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) COVID-19. (Gambar hiasan/NSTP/ASWADI ALIAS)

Dr Noor Hisham berkata, inisiatif untuk meningkatkan keupayaan makmal di negara ini penting selagi vaksin COVID-19 belum ditemui berikutan keupayaan virus berkenaan merebak dengan cepat.

Beliau berkata, keupayaan untuk melakukan 22,000 ujian pengesanan itu memadai jika dibandingkan dengan China yang hanya melakukan sebanyak 30,000 saringan sehari.

“Berdasarkan perbincangan dengan pasukan perubatan dari China yang ketika ini berada di Malaysia,misalnya  mereka mempunyai populasi 110 juta di Ghuangzou, tetapi hanya melakukan sebanyak 30,000 ujian sehari.

“Selain itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meletakkan penanda aras 10 peratus kes positif daripada jumlah saringan yang dilakukan. Jika kes positif lebih tinggi ini bermakna kita perlu melakukan lebih banyak saringan, namun Malaysia hanya mengesan 4 peratus sahaja,” katanya.

Sementara itu, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan sebanyak 40 kes baharu positif COVID-19 dikesan sehingga jam 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan COVID-19 sebanyak 5,820 kes.

Kes sembuh di negara ini terus meningkat dengan 95 kes yang pulih dan dibenarkan keluar daripada hospital hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 sebanyak 3,957 kes  atau 67.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga kini, seramai 37 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 17 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Bagaimanapun, hari ini terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak 99 kes atau 1.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes

Kes kematian ke-99 (kes ke-4087) membabitkan lelaki warganegara Malaysia berumur 78 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi serta strok. Beliau dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 7 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 27 April 2020 jam 4.31 pagi.

Fadzlena Jafar