Categories: Eat TravelFeatured

Nikmati sajian nugget sayuran ini sebagai alternatif untuk diet sihat

Bila bercakap fasal nugget, kita mesti terfikirkan kandungan ayamnya. Kalau bukan ayam, ikan. Jaranglah ada ramuan utama untuk nugget lain kerana hidangan ini memerlukan isi daging yang lembut.

Walaupun ramuan ayam atau ikan adalah lebih dikenali, tak semestinya bahan lain tak boleh digunakan sebagai ramuan utama. Dan tak semestinya kena guna isi daging haiwan. Sayur pun boleh!

Nugget sayuran memang bagus untuk mereka yang ingin berdiet tapi masih inginkan snek yang lazat. Anda boleh makan banyak tanpa perlu risaukan sangat tentang jumlah kalorinya berbanding dengan apabila anda makan nugget ayam atau ikan.

Lagipun, nak buat nugget sayuran ini, senang saja! Jom ikuti resipi di bawah.

Bahan-Bahan

  • 3 biji lobak merah, dibuang kulit dan dipotong kecil
  • ½ biji kubis bunga, diceraikan
  • 1 biji brokoli, diceraikan
  • 2 ulas bawang putih, dicincang
  • 1 biji telur
  • ½ sudu kecil serbuk bawang
  • 1 sudu kecil garam
  • ½ sudu kecil lada hitam
  • 1 ¾ cawan serbuk roti (205 gram)

Cara Penyediaan

  1. Di dalam sebuah food processor, kisarkan lobak merah, kubis bunga, brokoli, bawang putih, telur, serbuk bawang, garam dan lada hitam hingga sebati.
  2. Tambahkan 1 ¼ cawan (145 gram) serbuk roti dan kisar hingga sebati.
  3. Cedok satu sudu besar campuran tersebut dan bentukkan menjadi kepingan nugget bulat.
  4. Masukkan serbuk roti yang selebihnya ke dalam mangkuk dan litupi setiap keping nugget dengan serbuk roti tersebut.
  5. Dalam pan, goreng dengan sedikit minyak di atas api sederhana tinggi hingga kedua-dua belahnya keperangan, iaitu selama 10 minit. Cara alternatif adalah dengan membakar nugget ini dalam ketuhar di atas kertas minyak, pada suhu 200˚C selama 25 minit, dan terbalikkan semua kepingan selepas 15 minit pertama.
  6. Hidang dengan sos kesukaan anda.

Selamat menjamu selera!

Sumber: Tasty

Ad Ops