Categories: familuvFeatured

Pernikahan dalam talian hanya dibenarkan sepanjang PKP

Beberapa negara Islam kini membenarkan pernikahan secara dalam talian bagi negara yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Perintah Berkurung berikutan penularan wabak COVID-19 yang sudah menyebabkan 165,153 kematian di seluruh dunia setakat hari ini.

Di Malaysia, perkahwinan berkenaan hanya dibenarkan bagi pasangan yang sudah membuat permohonan sebelum PKP dikuatkuasakan.

Pada 18 April lalu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menjadi jabatan agama pertama melaksanakan majlis akad nikah seumpama itu membabitkan membabitkan pasangan pengantin, Muhammad Don Haadi Don Putra, 29, dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif, 29.

Majlis pernikahan secara sidang video yang diwalikan bapa pengantin perempuan, Mohd Sharif Khamis itu diadakan secara sidang video dari rumah pengantin perempuan di Bandar Baru Wangsa Maju, Setapak, sementara pengantin lelaki di Setiawangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang turut menjadi saksi majlis pernikahan berkenaan, berkata majlis diadakan itu selaras dengan ketetapan dikeluarkan JAWI pada 17 April lalu yang memberi kelonggaran kepada pasangan yang sudah memperoleh kebenaran berkahwin.

Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hadir (duduk dua kiri) selepas Majlis Akad Nikah pasangan pengantin secara dalam talian yang pertama di Malaysia. (Gambar NSTP)

Hari ini, Selangor menjadi negeri kedua yang membenarkan pernikahan sebegitu ketika pelaksanaan PKP dengan syarat mendapat kelulusan khas Jabatan Agama Islam Selangor.

Menurut BERNAMA, pemohon yang melaksanakan pernikahan secara sidang video perlu hadir ke pejabat agama Islam daerah selepas  PKP ditamatkan untuk mengemukakan slip perakuan nikah sementara bagi mendapatkan Surat Perakuan Nikah Negeri Selangor mengikut Seksyen 26, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Indonesia mengumumkan Kerajaan negara itu membenarkan pernikahan secara dalam talian pada 31 Mac lalu bagi pasangan yang sudah membuat pendaftaran sebelum PKP, namun menyarankan supaya pasangan menunda tarikh pernikahan supaya majlis dapat diadakan dalam suasana yang lebih selesa.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga mengumumkan kelulusan bagi menganjurkan majlis pernikahan maya pada 12 April lalu, malah negara berkenaan turut mengambil inisiatif melancarkan pakej perkhidmatan perkahwinan dalam talian.

Fadzlena Jafar