Categories: FeaturedGaya Hidup

Raffia Arshad, hakim wanita berhijab pertama di United Kingdom, hebat!

Seorang wanita berhijab memecah tembok tradisi sistem perundangan United Kingdom apabila dilantik menjadi hakim wanita pertama yang memakai hijab.

Pelantikan itu memenuhi impian Raffia Arshad, 40, yang mula menanam cita-cita untuk memiliki kerjaya dalam bidang undang-undang ketika berusia 11 tahun.

Menerusi metro.co.uk, ibu kepada tiga orang anak itu memberitahu pernah mengalami detik paling mencabar apabila pernah dinasihatkan oleh keluarganya sendiri agar tidak memakai hijab ketika menghadiri temu duga untuk mendapatkan biasiswa di Inns of Court School of Law pada 2001.

Kredit gambar: Muslim Mirror

Ahli keluarganya memberi amaran bahawa peluang untuk berjaya akan berkurangan jika dia memakai hijab, namun Raffia enggan tunduk pada tekanan berkenaan.

“Saya memutuskan bahawa saya akan memakai tudung kerana bagi saya amat penting untuk menerima seseorang itu sebagaimana dirinya yang seadanya. Jika saya perlu menjadi orang lain untuk meneruskan kerjaya saya, itu bukan sesuatu yang saya mahu.

“Saya pergi dengan memakai tudung dan saya berjaya dalam temu duga itu. Saya diberikan biasiswa yang cukup besar. Saya rasa itu adalah antara langkah pertama yang paling mendalam dalam kerjaya saya. Ini bukti bahawa kita boleh melakukannya tanpa mengira apa yang kita pakai,” katanya.

Selain keluarga, orang di sekelilingnya juga ragu dan mempersoalkan adakah ‘orang yang kelihatan sepertinya’, wanita kelas buruh dari latar belakang etnik minoriti dapat berjaya dalam bidang berkenaan.

Namun begitu, Raffia berjaya membuktikan selepas hampir 30 tahun, dia bukan sahaja seorang peguam yang berjaya, malah dilantik sebagai wakil hakim daerah di wilayah Midlands minggu lalu.

Kredit gambar: Facebook Raffia Arshad

“Ini bukan mengenai saya semata-mata, ini penting bagi semua wanita, bukan hanya wanita Muslim. Tetapi pencapaian ini pastinya sangat penting khususnya bagi wanita Muslim.

“Saya mahu semua orang tahu bahawa kita boleh mencapai apa sahaja yang diimpikan. Saya juga mahu memastikan suara daripada kepelbagaian lapisan masyarakat akan didengar dengan kuat dan jelas,” katanya.

Kredit gambar: Facebook Raffia Arshad

Raffia yang dibesarkan di barat Yorkshire mula menyertai St Mary’s Family Law Chambers pada 2004 selepas menjalani latihan di London. Sepanjang 15 tahun, Raffia berlatih dalam undang-undang kanak-kanak, perkahwinan paksa serta sebarang kes yang berkaitan Undang-Undang Islam. Dia turut dilantik menjadi pengarang teks utama dalam Undang-Undang Keluarga Islam.

Ad Ops