Categories: FeaturedGaya Hidup

Selebriti antarabangsa termasuk model berhijab pertama di AS kongsi pengalaman berpuasa

Model berhijab pertama yang menandatangani kontrak dengan IMG, agensi model terkenal di Amerika Syarikat (AS), Halima Aden, sentiasa mendapat liputan luas media di Barat berikutan penampilan uniknya yang mengenakan hijab di pentas peragaan.

Meskipun hidup di kota metropolitan dan dikelilingi dunia glamor, Halima bukan sahaja mengekalkan gaya hidup seorang Muslimah, malah sentiasa bangga mengakui dirinya Islam.

Dalam satu temu bual dengan Harper’s Bazaar Arabia bersempena dengan kedatangan Ramadan ini, Halima berkata, antara cabaran terbesar sepanjang berpuasa adalah untuk mengelakkan daripada mendengar muzik yang melalaikan.

“Lazimnya, kebanyakan umat Islam akan cuba untuk mencapai sesuatu. Bagi saya, saya memilih untuk tidak mendengar muzik. Sepanjang Ramadan ini saya cuba mengelakkan daripada semua jenis muzik, sesuatu yang tentunya sukar dilakukan.

“Ini bermakna saya tidak boleh menonton wayang, televisyen atau sapa sahaja bentuk hiburan termasuk iklan yang mengandungi muzik. Oleh itu, saya lebih banyak mendengar lagu nasyid dan lagu ketuhanan,” katanya.

Selain Halima, terdapat beberapa selebriti antarabangsa yang turut meraikan Ramadan. Bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak tahu kerana gaya hidup mereka yang agak kebaratan dan tidak menggambarkan ciri Muslim.

Lebih-lebih lagi sebahagian besar daripada mereka terbabit dalam bidang hiburan seperti penyanyi rap, SZA dan DJ Khaled.

SZA

SZA yang dilahirkan dalam keluarga Islam dan pernah berhijab ketika remaja, mengakui beliau tetap berpuasa sepanjang Ramadan, malah pernah menjejaskan kotak suaranya ketika berlatih menyanyi pada Ramadan beberapa tahun lalu.

DJ Khaled

Penyanyi keturunan Palestin itu sentiasa terbuka mengenai kepercayaannya, malah sering berkongsi video bagaimana beliau memperkenalkan azan kepada anak-anaknya.

Beliau bukan sahaja mengakui sering membaca al-Quran, malah kekal berpuasa sepanjang Ramadan sehingga pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana ternyahhidrat apabila tetap bekerja pada bulan mulia itu.

Mahershala Ali

Berbeza dengan SZA dan DJ Khaled yang memang dilahirkan dalam keluarga Islam, Mahershala yang memenangi anugerah Oscar tahun lalu, memeluk Islam pada tahun 2000.

Aktor Moonlight itu yang sentiasa terbuka apabila berbicara mengenai kehidupan seorang Muslim di AS, sehingga kini dikatakan berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Supermodel

Supermodel seperti Iman Abdulmajid, isteri penyanyi terkenal David Bowie dan Bella Hadid, Gigi Hadid serta Shanina Shaikh dari Australia tidak pernah menafikan latar belakang mereka yang dilahirkan dalam keluarga Islam.

Meskipun tidak mengamalkan cara hidup Muslimah, mereka tetap gembira dengan kedatangan Ramadan dan mengucapkan selamat meraikan bulan mulia itu kepada peminat serta keluarga yang menyambutnya.

Fadzlena Jafar