Categories: Filem

Cemas Beb…Erra Fazira, Nabila Huda Bergabung Dalam ‘Wangi’

Tidak dinafikan bahawa naskah filem-filem yang bercorak psiko th riller dan jenayah seram merupakan antara genre yang begitu digemari penonton.

Atas sebab itu, syarikat RESILIENCE STUDIO SDN. BHD. telah mengambil inisiatif dengan menerbitkan sebuah filem berjudul WANGI

Penerbitnya, yang dikenali sebagai Shuhada Mohd atau Adda mengatakan bahawa dia begitu menggemari plot-plot seram dan misteri dalam sesebuah cerita dan itu merupakan salah satu sebab utama tercetusnya idea untuk menerbitkan filem WANGI.

“Untuk filem baharu terbitan syarikat saya ini, WANGI merupakan tajuk yang sukar ditafsirkan kerana ia subjektif dan bergantung pada persepsi individu.

“Filem ini memaparkan kisah tentang sebuah keluarga bahagia dari pandangan zahirnya, tetapi di sebaliknya ia mempunyai rahsia hitam yang tersembunyi,” ujarnya.

WANGI menceritakan tentang Nor (Erra Fazira) yang baru pulang ke rumah setelah melahirkan cahaya mata kedua. Dia dan suaminya, Khuzairi (Sharnaaz Ahmad) memiliki seorang anak lelaki istimewa berusia tujuh tahun. Sepanjang dalam tempoh berpantang, Nor telah dijaga oleh ibunya.

Dalam pada itu, Nor juga menyedari ketiadaan pembantu rumah dan merangkap adik angkatnya, Bella (Nabila Huda). Khuzairi memberitahu bahawa Bella telah berhenti dan pulang ke Amsterdam dengan alasan berkahwin dengan kekasihnya iaitu Azlan (Syazwan Zulkifly).

Bagaimanapun, Nor berasa pelik memandangkan Bella tak pernah bercerita tentang perkahwinan dan bermulalah misteri tentang kehilangan Bella serta kejadian-kejadian pelik yang berlaku ke atas dia dan keluarganya.

Mengenai pemilihan pelakon pula, Adda memberitahu ia merupakan hasil perbincangan bersama pihak produksi dan percaya dengan kredibiliti setiap pelakon yang ditampilkan dalam filem ini.

“Proses penggambaran filem telah mengambil masa selama dua minggu di beberapa buah lokasi seperti di Kuala Lumpur serta Manchester dan Liverpool (England).

“Kalau ditanya tentang harapan, sudah tentu saya inginkan sokongan dan ditonton oleh seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang pelakon utamanya iaitu Erra Fazira pula menyatakan dia tertarik untuk membintangi filem berkenaan kerana kelainan watak yang dibawakannya iaitu seorang ibu yang berdepan dengan konflik jiwa.

“Saya pernah berlakon di bawah arahan Yeop Hitler, tetapi kali ini pengarahan dan pembawakan jiwa yang berbeza diterapkan olehnya.

“Dia memberi kebebasan kepada saya untuk watak Nor ini, namun dalam masa yang sama dia memantau agar karektor dan penceritaan tidak tersimpang jauh,” ujarnya.

Selain itu, Erra menyatakan jalan cerita yang agak menarik di samping dapat beraksi bersama rakan-rakan pelakon yang hebat antara sebab utama dia bersetuju membintangi filem berkenaan.

Bagaimanapun ia tetap berhadapan dengan cabaran dari segi kekangan masa yang agak terhad memandangkan artis yang terlibat mempunyai jadual yang padat dan masing-masing mengejar masa yang ditetapkan.

“Saya harap filem Wangi dapat mengubat hati penonton yang mahu saya kembali beraksi di layar perak.

“la bukan sekadar filem seram seperti yang dijangkakan kerana Wangi adalah sebuah filem ‘psycho thriller’ yang jarang dizahirkan dalam filem-filem Malaysia,” ujarnya.

Filem Wangi arahan Mohd Latiff Zami bakal ditayangkan di pawagam pada 5 September 2019. Menampilkan lakonan Erra Fazira, Sharnaaz Ahmad, Nabila Huda dan Syazwan Zulkifli.

SGMS Faida