Filem Janna Endoro Bukan Mahu Tunjuk Orang Kelantan Jahat, Tak Adil Jika Dipolitikkan – Pengarah

Pengarah, Sham Jr menafikan naskah filem sulungnya yang berjudul Janna Endoro seolah-olah memberi persepsi buruk terhadap masyarakat khususnya di negeri Kelantan.

Bercakap kepada XTRA, Sham menjelaskan penghasilan filem tersebut adalah bagi memberi teladan tersendiri kepada masyarakat.

“Sebenarnya itu adalah realitinya, kita bukan nak tunjukkan orang Kelantan ini jahat, tidak.

“Tetapi saya hanya ingin tunjuk setiap kejahatan akan dapat balasannya.

“Ini kehendak skrip, kami dah lalui pelbagai fasa seperti pengubahan skrip dan inilah yang kita mahu dan buat,” katanya kepada pemberita.

Tambah Sham, dia berasa tidak adil baginya sekiranya filem tersebut dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana ia jelas hanya sebuah hiburan semata.

“Itu tidak adil kepada saya jika ia dipolitikkan.

“Ini adalah sebuah cerita yang direka berdasarkan kehidupan di Kelantan. Ia sekadar hiburan,” jelasnya.

Disoal apakah reaksi sekiranya karya sulungnya itu dilabel rasis, ini jawapan pengarah itu.

“Janganlah, sebelum kita hasilkan pun kita dah fikir segalanya. Tetapi kita tetap juga tunjuk budaya-budaya dan corak kehidupan di Kelantan.

“Kita tidak tunjukkan sesuatu yang rasis. Jangan,” jawabnya.

Dalam pada itu, Sham juga menafikan tanggapan bahawa pihak produksi seolah-olah membuat kritikan sosial melalui penghasilan filem yang mula ditayangkan di pawagam itu.

“Ada ayat-ayat yang dilontarkan seperti ‘me nate’ tetapi sebenarnya itu bukan mencarut tetapi ia bahasa yang digunakan setiap hari oleh rakyat Kelantan.

“Tiada kritikan sosial dalam filem ini, ini adalah hiburan semata-mata,” tutupnya.

Janna Endoro menampilkan barisan pelakon popular seperti Trisha Ooi, Pekin Ibrahim, Mohd Asrulfaizal, Wan Hanafi Su, Josiah Hogan, Zoee Tan, Syed Aiman, Kamarool Hj Yusoff, Zalfa Zin, ZZ Zamrie dan Danie X-Factor.

Filem ini tampil berbeza apabila mengetengahkan wanita bernama Janna sebagai watak utama atau Hero, yang jarang-jarang berlaku dalam industri hiburan tanah air.

Janna sebenarnya mewakili nama watak wanita yang memainkan peranan utama iaitu hero filem ini, manakala Endoro adalah jenama motosikal scrambler Yamaha Enduro.

Filem Janna Endoro dihasilkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKD).

Khairil Khusyairi