Categories: Filem

Tonton Apa Hari Ni: ‘Detik’

Masa itu emas. Walau bagaimanapun, mungkin akan ada yang berpendapat bahawa masa itu lebih berharga daripada emas. Ini kerana masa yang telah berlalu tidak boleh dikembalikan lagi. Namun, filem Tonton original terbaharu yang berjudul ‘Detik’ bermain dengan keupayaan ini.

Kisah yang bergenre ‘Sci-Fi’ ini menyoroti watak Irdina (Sharifah Rose) yang telah membeli sebuah rumah lelong. Rumah tersebut telah ditinggalkan hampir lima tahun lamanya. Jiran sekeliling telah mengesahkan bahawa rumah tersebut merupakan milik seorang Profesor yang bernama Aida (Sherry Ibrahim). Namun, riwayat Profesor tersebut telah tamat pada tahun 2017.

Setiap rumah ada keistimewaannya sendiri. Begitu juga rumah yang telah bertukar tangan kepada Irdina ini pula. Setelah beberapa ketika baru dia menyedari bahawa terdapat sebuah pintu rahsia. Pintu ini membawa kepada sebuah bilik yang dilengkapi peralatan teknologi yang luar biasa. Peralatan ini membolehkan seseorang individu untuk pulang ke masa lalu.

Irdina telah menerokai penggunaan teknologi ini. Dia mula memahami bahawa dia hanya perlu memilih tarikh dan peralatan mesin tersebut dapat membawanya ke waktu yang ditetapkan. Alangkah terujanya si gadis itu. Selain berhasrat menukar sejarah, dia juga ingin mengubah takdir kisah cintanya sendiri.

Dalam keterujaannya itu, dia telah berkesempatan untuk bertemu dengan Profesor Aida yang memberi amaran agar sejarah jangan sesekali diubah. Namun, keinginannya untuk membuat perubahan membuak-buak. Apakah yang bakal terjadi dalam filem arahan Khalid Nadzri ini?

Cerita Apa? ‘Detik’
Di Mana? Strim eksklusif HD di Tonton

Afiqah Azizan