Ebit Lew Didakwa Kerap Buat Panggilan & Tunjuk Foto Kemaluan – Saksi

Susulan perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah bebas popular, Ebit Irawan Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Ebit Lew, seorang wanita yang juga saksi kesembilan tampil memberikan keterangan dan mendakwa Ebit pernah menghantar gambar berupa alat sulit lelaki kepadanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Memetik laporan Berita Harian, saksi bagaimanapun tidak dapat menyimpan tangkap layar tersebut kerana Ebit telahpun memadam gambar berkenaan.

“Dia hantar gambar alat sulit lelaki pada 14 Mac 2021”. Saya tak sempat simpan tangkap layar itu sebab Ebit Lew padam gambar berkenaan,”katanya.

Terdahulu wanita itu memberitahu mahkamah dalam perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani, beliau menghubungi Ebit Lew melalui aplikasi Instagram, bagi meminta nasihat berhubung masalah kekeluargaan pada 4 Mac 2021.

Bagaimanapun, Ebit Lew meminta nombor telefonnya pada tarikh sama dan sejak itu, dia sentiasa menerima panggilan daripada tertuduh antara Mac hingga Jun 2021 melalui aplikasi WhatsApp.

Jelasnya lagi, pada 29 Mac 2021, Ebit sekali lagi membuat panggilan video dan memperlihatkan alat sulitnya, dan ketika itu saksi sempat menangkap gambar untuk ditunjukkan kepada suaminya sebagai bukti memandangkan suami saksi pada mulanya tidak percaya bahawa Ebit Lew berkelakuan seperti itu.

Minta pengadu bertukar pasangan

Dan, pada ramadan antara April dan Mei 2021, Ebit juga memaksa saksi menjawab panggilan video dan memperlihatkan kemaluannya sehingga wanita itu menyekat nombor telefon pendakwah itu di aplikasi WhatsApp.

“Saya ada blok (sekat panggilan) pada awal April, tetapi Ebit Lew ada membuat panggilan daripada Instagram saya, selepas itu saya buang sekatan (unblock) beliau di WhatsApp, tetapi Ebit Lew tetap (berkelakuan) sama,” jelasnya.

Lebih mengejutkan, Ebit pernah memintanya melakukan perbuatan bertukar pasangan iaitu, antara saksi dan suaminya bertukar pasangan bersama tertuduh dan isterinya.

Terdahulu, Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan itu, membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

 

Sumber: Berita Harian

Salma Syahbuddin