Categories: Filem

Garapan Kemas Mencuri Raden Saleh

Mind blowing!

Itu perkataan pertama yang terlintas di fikiran selepas selesai menonton filem Indonesia, Mencuri Raden Saleh.

Filem terbitan Visinema Pictures, Jagartha, Blibli dengan kerjasama Astro Shaw telah ditayangkan di Indonesia pada 25 Ogos lalu.

Di seberang, filem yang menggarap lakonan enam anak muda ini berjaya meraih lebih 1.2 juta penonton dalam tempoh kurang satu minggu tayangan.

Pada awalnya, plot penceritaan kelihatan sedikit membosankan. Mungkin agak sukar untuk penonton memberikan fokus terhadap apa yang terhidang kerana susur cerita bergerak perlahan.

Namun, masuk sahaja ke bahagian seterusnya, penonton dihidangkan dengan cerita dan aksi menarik enam remaja yang merancang rompakan.

Garapan kemas naskhah arahan Angga Dwimas Sasongko ini membuatkan penonton tidak berganjak selama dua jam setengah dan ‘laparkan’ adegan seterusnya.

Apa yang menarik ialah ‘twist’ yang dihidangkan dalam karya ini. Ternyata ia berjaya ‘menipu’ penonton dan membuatkan mereka yang hadir meninggalkan pawagam dengan senyuman.

Filem Mencuri Raden Saleh mengisahkan tentang enam remaja yang mempunyai kepakaran berbeza bergabung dan merancang untuk merompak sebuah lukisan Raden Saleh atas arahan seorang yang berpengaruh dan berkuasa.

Namun, misi mereka dikhianati dan mereka menjadi buruan polis. Justeru, mereka nekad untuk membalas dendam dengan mencuri kembali lukisan Raden Saleh serta membersihkan nama baik mereka.

Menampilkan Iqbaal Ramadhan (Dilan), Angga Yunanda (Habibie & Ainun 3), Aghniny Haque (KKN di Desa Penari), Rachel Amanda (Dua Garis Biru), Umay Shahab (Danur 3) dan Ari Irham (Generasi 90an : Melankolia), Mencuri Raden Saleh mula ditayangkan di Malaysia pada 22 September lalu.

4.5/5 bintang.

Padin