Categories: Filem

Kenali Watak-Watak Yang Mewarnai Filem Tonton Original, ‘Pinang Durian’

Filem Tonton original menceritakan konflik antara dua buah keluarga yang berasal dari Pulau Pinang dan Perak.

Isteri Maidin telah dikatakan meninggal dunia kerana tercekik biji durian yang dijual oleh Seman. Hal ini telah menyebabkan Maidin mengharamkan buah durian daripada rumahnya. Dia juga tidak lagi menyentuh langsung buah itu. Maidin juga menganggap Seman seorang penipu dan penyebab pemergian suri hatinya.

18 tahun kemudian, isu timbul apabila anak Maidin dan anak Seman telah jatuh cinta dan ingin melangsungkan perkahwinan. Kedua-dua mereka tidak merelakan hal ini. Kisah ini sememangnya penuh dengan perwatakan yang menghiburkan.

#1 Hamid (lakonan Khai Bahar)

Hamid adalah anak teruna kepada Maidin yang berusia 24 tahun. Dia seorang yang kacak, dan sangat menghormati bapanya. Dia juga seorang pemalu. Setelah mendapat Ijazah Sarjana, dia telah pulang ke Pulau Mutiara. Dia nekad untuk menambah pengalaman bagi dirinya. Dia juga sering dihujani permintaan oleh bapanya yang ingin melihatnya mengambil alih perniagaan emas dan sewa rumah yang dimilikinya.

#2 Intan (lakonan Tiz Zaqyah)

Intan adalah seorang satu-satunya cahaya mata Seman dan Salmah. Gadis berusia 24 tahun itu telah lahir dan dibesarkan di Gopeng, Perak. Dia seorang yang petah berbicara dan amat menghormati orang tua. Bapanya sudah beberapa kali memohon agar dia menerima pinangan orang kampung. Intan berkeras untuk menolak. Namun, apabila dia bertemu Hamid, hatinya terpikat. Dia yakin bahawa Hamid adalah pasangan yang sesuai buat dirinya.

#3 Maidin (lakonan Farouk Hussain)

Maidin adalah seorang usahawan yang berjaya. Pada usia 56 tahun, dia mempunyai beberapa kedai emas dan 10 buah rumah sewa di sekitar Pulau Pinang. Dia adalah seorang yang peramah dan tidak lokek dengan senyuman serta gelak tawa. Namun, dia adalah seorang yang kedekut. Maidin amat sensitif dengan buah durian kerana isterinya telah meninggal dunia disebabkan buah tersebut. Maidin juga merupakan seorang bapa yang mencurahkan kasih sayang yang penuh buat anaknya, Hamid.

#4 Seman (lakonan Usop Wilchar)

Seman merupakan anak jati Gopeng, Perak. Dia kini berusia 58 tahun. Dia adalah suami kepada Salmah dan bapa kepada Intan. Seman adalah seorang yang suka bercakap dan memberi nasihat. Dia juga mempunyai kemahiran memasak. Seman juga merupakan hantu durian. Minatnya itu amat mendalam sehingga dia mengusahakan ladang duriannya sendiri. Dahulunya, dia menjual durian di tepi jalan. Kini, dia hanya menjual kepada peraih.

Cerita Apa? ‘Pinang Durian’
Di Mana? Strim Eksklusif di Tonton

Afiqah Azizan