Categories: Gaya HidupOh Lawa

4 bahan dalam penjagaan wajah yang perlu anda elakkan! Ini sebabnya

Oleh Syarifah Fatin Anisa

Ramai orang kini gemar membeli produk penjagaan wajah berdasarkan ulasan dalam media sosial, kononnya daripada beauty guru tanpa melihat label di belakangnya.

Bagaimanapun, anda sebenarnya harus memahami bahan-bahan yang terkandung dalam produk penjagaan wajah sebelum membelinya!

Ada produk yang mengandungi bahan terlarang yang mungkin bahaya pada kulit dan tidak kurang juga yang berpotensi merosakkan alam sekitar yang akhirnya akan meninggalkan kesan pada manusia.

Lihat produk penjagaan kulit anda dan semak kandungan atau ramuannya. Berikut adalah beberapa bahan yang bahaya untuk kulit yang perlu diketahui setiap wanita! 

1. Oxybenzone dan octinoxate

Anda mungkin pernah mendengar mengenai larangan menggunakan produk pengjagaan kulit seperti krim pelindung matahari yang mengandungi  bahan ini di Hawaii, tahun 2018.

Kajian menunjukkan kedua-dua bahan kimia ini memberi kesan buruk pada terumbu karang di lautan, antaranya memudarkan warna dan membantutkan pertumbuhannya.

Melindungi kulit daripada matahari adalah penting, tetapi anda boleh menggunakan produk yang tidak mempunyai bahan-bahan seperti di atas.

Foto: Liputan6.com

2. Paraben

Jika anda teliti bungkusan tisu basah, pasti perkataan paraben akan selalu dilihat.

Paraben merupakan bahan pengawet yang digunakan dalam produk rawatan wajah. Begitupun, bahan ini sebenarnya antara punca gangguan hormon dalam badan.

Meskipun pakar dermatologi mengatakan bahawa paraben selamat jika digunakan pada kadar yang rendah dalam produk kecantikan, tetapi ia masih lagi berbahaya kepada alam sekitar.

Hal ini kerana paraben sering digunakan dalam produk kecantikan, maka ia akan dilepaskan ke dalam sistem pengaliran air seperti sungai dan laut, sekali gus akan memberi kesan pada hidupan laut.

Banyak jenama-jenama terkenal dalam bidang kecantikan menghentikan penggunaan paraben dalam produk mereka, justeru anda juga haruslah berhati-hati dalam memilih produk yang berkaitan dengan bahan ini.

Foto: blog.honeyhaircare.com

3. Siloxanes

Bahan ini sebenarnya adalah sebahagian daripada keluarga silikon dan boleh ditemui dalam produk penjagaan wajah seperti pelembap, primer dan serum. Ciri-cirinya yang boleh menjadikan kulit halus dan lembut membuatkan ia cukup popular dan sering digunakan dalam produk terbabit.

Persoalannya, adakah ia berbahaya?

Pelbagai kajian sedang dijalankan termasuk di negara seperti Norway selepas beberapa produk jenama tempatan di negara terbabit menggunakan siloxanes dalam kadar yang berlebihan.

Meskipun masih dalam perbincangan, siloxanes dikatakan berupaya merosakkan rantaian makanan hidupan laut.

4. Microbead dalam plastik

Meskipun sudah diharamkan dalam produk kosmetik di United Kingdom dan Amerika Syarikat, kebanyakan negara masih membenarkan microbead digunakan dan dijual di pasaran.

Bahan-bahan ini kebiasaannya dijumpai dalam produk penyental (skrub) wajah dan badan serta ubat gigi.

Apabila bahan ini dibawa ke dalam sistem saliran setelah digunakan, ia akan terdedah kepada hidupan laut yang akan memakannya.

Foto: Blue Growth

Di negara ini, larangan terhadap bahan-bahan ini tidak terlalu didedahkan. Oleh itu, jika produk penjagaan wajah anda mengandungi bahan-bahan berikut, buat sesuatu mengenainya!

Sayangi bumi kerana anda juga tinggal di dalamnya!

Sumber: Vogue

tex_admin