Categories: Gaya Hidup

Baru 12 tahun, sudah mampu beli BMW Sedan. Hebatnya jurusolek cilik ini!

Kerjaya jurusolek hari ini sememangnya menjanjikan pendapatan yang cukup lumayan.

Lebih-lebih lagi jika jurusolek itu mempunyai ciri usahawan dan bijak menyusun strategik untuk  masa depan dengan menghasilkan produk mereka sendiri.

Jadi, tidak hairanlah kalau ada sesetengahnya bergelar jutawan, rezeki hasil sentuhan magis jari-jemari kurniaan Ilahi.

Akan tetapi, jika jurusolek itu baru berusia 12 tahun sudah boleh memiliki kereta pertama hasil titik peluh sendiri, itu luar biasa!

Foto: Instagram Nathannan

Sudahlah belum memiliki lesen memandu, kenderaan yang dibelinya itu jenis kereta mewah BMW Sedan berharga sekitar RM260,000 sebagai hadiah hari jadi untuk dirinya sendiri. Hebat sungguh remaja bernama Nathannan ini!

Siapakah kanak-kanak ini? Untuk pengetahuan umum, Nathannan ialah jurusolek profesional yang sedang menempah nama dalam industri ini di Thailand.

 

Nathannan mula menunjukkan minat dalam bidang solekan semenjak berusia 6 tahun lagi. Dia memuat naik gambarnya bersama kereta mewahnya itu di akaun Facebook peribadinya pada 9 April lalu dan telah dikongsi semula sebanyak 15,000 kali.

Nathannan mula dikenali umum, selepas ibunya berkongsi video di mana kanak-kanak ini sedang menggunakan alat solek pada usia 6 tahun. Pelbagai reaksi diberikan oleh netizen seperti kritikan kepada ibu bapanya yang membiarkan anak sekecil itu bermain dengan alat solek.

Video itu ternyata menarik perhatian dunia termasuk BBC. Semenjak itu, Nathannan terus mendalami dan memperbaiki teknik solekan sehingga kini.

Lebih membanggakan lagi, tahun lalu dia terpilih sebagai salah seorang jurusolek di London Fashion Week. Malah kini, saluran YouTube peribadinya yang dimanfaatkan untuk berkongsi video tutorial solekan, mempunyai 270,000 jumlah langganan. 

Anda pasti terkejut melihat hasil sentuhan magis adik Nathannan ini. Bayangkan art makeup yang dihasilkannya sebagaimana boleh dilihat menerusi lampiran gambar dibawah, jauh lebih baik daripada sesetengah jurusolek profesional dewasa.

 

 

Jika anda mempunyai anak atau adik yang meminati dunia solekan, jangan pandang rendah minat mereka. Mana tahu mereka mampu jadi seperti adik Nathannan!

 

 

Sumber: The Vocket

 

Yanie Baharom