Elak daun kesum layu, kekalkan kesegaran seperti baru dipetik

Bagi surirumah, tugas membeli keperluan dapur adalah tugas wajib yang mereka lakukan setiap minggu demi memastikan anak dan suami dapat menikmati masakan air tangan mereka sendiri.

Menikmati makanan yang dimasak di dapur sendiri juga lebih terjamin kebersihannya kerana anda tahu apa yang terbaik untuk keluarga yang disayangi. Tidak mustahil setiap anggota keluarga mempunyai menu atau lauk kegemaran masing-masing.

Jadi sebagai ‘jurutera dapur’ atau digelar chef in the house, pasti anda cuba untuk memenuhi setiap cita rasa anak dan suami.

Sebelum ke pasar mungkin ada yang menyediakan senarai panjang bagi memastikan tiada satu pun yang tertinggal untuk dibeli terutama bahan basah seperti ikan dan sayur memandangkan kedua-dua bahan ini memerlukan pengurusan yang betul bagi memastikan ia kekal segar serta tidak cepat rosak.

Foto: Rumah Mungil ku

Kebanyakan sayur atau tumbuh-tumbuhan herba seperti daun kesum, serai, daun limau purut atau daun kunyit lazimnya dijual dalam bentuk secekak atau seikat dan tidak boleh dibeli satu atau dua ranting sahaja. Oleh itu, anda terpaksa membeli seikat yang mungkin ada banyak ranting.

Tumbuh-tumbuhan herba seperti daun kesum umpamanya tidak tahan lama jika disimpan di dalam peti sejuk tanpa dibungkus elok. Mungkin selepas dua minggu, ia sudah kering dan layu menyebabkam aromanya sudah tidak ketara dan kurang menyengat.

Usah risau, cuba guna kaedah yang dicadangkan ini bagi memastikan bahan masakan berasaskan herba anda kekal segar meskipun disimpan lama.

Foto: TanamSendiri.com

Cara mengekalkan kesegaran aroma daun kesum:

  • Bersihkan daun kesum, buang daun yang sudah kering dan rosak.
  • Sediakan satu mangkuk air dicampur ais. Ketepikan.
  • Didihkan air di dalam periuk sederhana besar.
  • Apabila air mendidih, celup daun kesum yang diikat kemas. Celup dengan cepat selama tiga hingga lima saat, angkat dan toskan seketika.
  • Masukkan ikatan daun kesum ke dalam mangkuk berisi ais, biarkan selama dua hingga tiga minit. Kemudian angkat dan tos.
  • Hampar sehelai tuala kecil yang bersih. Keringkan daun kesum dengan cermat. Pastikan daunya kering sempurna.
  • Bahagikan kepada beberapa ikatan kecil dan bungkus dengan kertas bersih.
  • Simpan di dalam peti sejuk pada bahagian dingin beku.
  • Apabila hendak digunakan, ambil sahaja dan boleh terus dimasukkan ke dalam masakan anda. Aromanya bangkit seperti biasa dan warna daun juga hijau seolah-olah seperti baru.

Foto: Carousell

# Anda juga boleh menggunakan teknik ini untuk menyimpan daun pudina.

Shaidah Shafie