Categories: Gaya Hidup

Malu Miss V Berbau? Atasi Dengan Tip Ini

Sebelum ini Hijab & Heels pernah kongsikan mengenai jenis bau Miss V dan maksudnya menerusi artikel bertajuk Bau Seperti Klorin & Roti Basi. Ini 5 Bau Vagina Yang Perlu Anda Tahu.

Biarpun bau Miss V adalah perkara normal, namun jika bau busuk itu semakin teruk, ia adalah satu tanda yang tidak baik dan boleh menyebabkan masalah yang serius jika tidak dirawat dari awal.

Mungkin ramai wanita di luar sana sedia maklum penyebab masalah Miss V berbau ialah apabila adanya infeksi kulat dan bakteria. Jangkitan berlaku mungkin disebabkan beberapa faktor antaranya kurang menjaga kebersihan Miss V, suami atau isteri tidak menjaga kebersihan alat sulit sewaktu mengadakan hubungan seksual dan jarang mencukur bulu kemaluan.

Pemakaian pakaian dalam yang terlalu ketat atau bahan sintetik yang tidak menyerap peluh, penggunaan pembersih Miss V yang tidak sesuai dengan kulit, penggunaan tuala wanita atau panty liner yang terlalu lama juga antara punca Miss V boleh berbau busuk.

Foto: Prof Hariz

Memang malu kalau berhadapan dengan situasi sebegini sehingga boleh menyebabkan rasa kurang keyakinan diri. Jangan risau, anda boleh cuba tip asas ini untuk mengatasi masalah yang timbul.

1. Cuci bahagian Miss V menggunakan air bersih. Elakkan menggunakan tisu basah.

2. Elakkan penggunaan sabun untuk membersihkan Miss V kerana ia boleh menyebabkan kekeringan dan iritasi pada kulit.

3. Guna seluar dalam yang bersih dan daripada material kain kapas. Biarkan Miss V kering sebelum memakai seluar dalam.

4. Sebaiknya jika di rumah, tidak perlu pakai seluar dalam atau pakai pakaian yang longgar untuk membolehkan pengaliran udara.

Foto: Popbela

5. Bagi yang dah berkahwin, bersihkan Miss V sebelum dan selepas melakukan hubungan bersama pasangan.

6. Amalkan buang air kecil selepas bersama untuk mengurangkan risiko jangkitan kuman pada pundi kencing.

7. Tukar tuala wanita sekerap mungkin ketika haid untuk mencegah pembiakan bakteria.

Foto: Jempol Kaki

8. Anda juga boleh mencuba cara semulajadi dengan menggunakan daun sirih atau air garam sebagai air bilasan setiap kali mencuci Miss V.

Semoga bermanfaat!

Ad Ops