Categories: Gaya Hidup

Misteri bandar di Brazil yang mempunyai pasangan kembar terbanyak di dunia

Oleh Syarifah Fatin Anisa binti Tuan Said Shakh

Pasangan kembar sememangnya menjadi tarikan dalam masyarakat walau ke mana sahaja mereka pergi.

Wajah dan fizikal yang lazimnya seiras menjadi keunikan yang hanya dimiliki setiap pasangan kembar, namun mereka ialah individu dengan personaliti dan tahap pemikiran yang berbeza.

Meskipun sukar untuk mengenal pasti identiti kedua-duanya, terdapat ciri khas yang boleh dikenal pasti untuk membezakan mereka.

Pada masa yang sama, jumlah pasangan kembar yang tidak begitu ramai sudah cukup untuk menarik perhatian orang ramai kerana mereka jarang dilihat.

Bandar di Brazil ini mempunyai bilangan pasangan kembar yang paling ramai di dunia!

Foto: Daily Mail

Candido Godoi ialah bandar yang berdekatan sempadan antara Argentina dengan Brazil.

Dengan populasi seramai 6,641 orang, kelahiran pasangan kembar di bandar itu lebih banyak berbanding dari seluruh Brazil.

Menariknya, ada yang mengaitkan kelahiran kembar di bandar berkenaan dengan eksperimen yang dilakukan oleh Josef Mengele, doktor yang dikenali dengan gelaran Malaikat Maut.

Beliau ialah pakar perubatan yang ditugaskan oleh Adolf Hitler ketika zaman pemerintahannya untuk melakukan eksperimen ke atas manusia yang kebanyakannya terdiri daripada kembar.

Kajian itu dilakukan bagi menambah bilangan rakyat Jerman yang dikatakan berasal daripada bangsa Aryan. Golongan itu didakwa lebih mulia daripada bangsa lain.

Gerakan dan fahaman serta ideologi Nazi yang dipelopori oleh Parti Nazi telah menyebabkan banyak kematian ketika eksperimen dijalankan oleh Dr Josef di Aushwitz.

Foto: All That’s Interesting

Beliau dikatakan pernah ke kawasan kampung yang terletak di Cândido Godói untuk melakukan eksperimen di sana, namun kajian yang dijalankan oleh pakar genetik, Ursula Matte menunjukkan bahawa fenomena kelahiran kembar ini sudah wujud sejak 1930 lagi.  Data itu berdasarkan kajian ke atas 6,615 sijil pembaptisan dan secara tidak langsung bermakna ia sudah bermula sebelum zaman Mengele lagi!

Selain itu, 10 peratus bayi yang dilahirkan di kampung Sao Pedro yang juga sebahagian daripada bandar Cândido Godói adalah kembar dari tahun 1990 hingga 1994. Ini bermakna kelahiran kembar di kampung tersebut melebihi bilangan kembar di Brazil.

Kumpulan saintis juga menjalankan eksperimen terhadap air yang diminum oleh penduduk di bandar itu, tetapi tidak menemui sebarang perkara pelik.

Kajian terhadap bilangan pasangan kembar di bandar itu masih dijalankan sehingga sekarang dan penduduknya juga tidak sabar ingin mengetahui sebab sebenar di sebalik fenomena terbabit.

Foto: Citizen Of The Earth

tex_admin