Categories: Gaya Hidup

Pilih hidup bersama rakyat, Meghan dan Harry ucap selamat tinggal pada istana!

Sesiapapun individu di dalam dunia ini mengimpikan untuk hidup seperti putera dan puteri diraja. Dapat melalui cara hidup sebegitu satu hari pun jadilah!

Hidup mewah di dalam istana, berbusana indah setiap hari, disaluti emas permata, punya kenderaan terpantas, ke mana saja ditemani pengawal dan pemandu peribadi, malah paling seronok sekali hidup goyang kaki tapi duit berkepuk! Siapa yang tidak mahu bukan hidup seperti itu?

Tetapi lain pula ceritanya dengan pendirian Meghan Markle dan Putera Harry. Baru-baru ini, pasangan Duke dan Duchess of Sussex itu mengumumkan bahawa mereka akan melangkah keluar dari anggota kanan keluarga diraja untuk menjalani kehidupan seperti orang biasa.

Pasangan itu juga memutuskan untuk meninggalkan kehidupan yang dibayar oleh pembayar cukai kepada kehidupan yang berasaskan pencarian kewangan sendiri.

Pasangan diraja ini mengumumkan berita terbabit dalam satu hantaran terbaharu di Instagram, dengan menyatakan bahawa mereka mahu ‘mencipta peranan baru dalam institusi ini.’

“Kami berhasrat untuk melangkah keluar dari anggota keluarga diraja dan akan bekerja bagi membantu dari segi kewangan, sambil terus menyokong sepenuhnya baginda Ratu,” kata mereka sambil menambah bahawa mereka bercadang untuk membahagikan masa antara United Kingdom dengan Amerika Utara.

ARTIKEL BERKAITAN: Foto Baharu Anak Putera Harry & Meghan Markle Buktikan Dia Seiras Bapanya

Foto: Parade

Buckingham Palace yang dikatakan terkejut dengan pengumuman berkenaan mengeluarkan kenyataan menyatakan bahawa perbincangan mengenai masa depan Duke dan Duchess of Sussex adalah pada peringkat awal.

“Kami memahami keinginan mereka untuk mengambil pendekatan yang berbeza, tetapi ini adalah isu rumit yang akan mengambil masa,” kata kenyataan itu.

Putera Harry adalah pewaris keenam dalam barisan takhta British, di belakang ayahnya Prince Charles, abangnya Prince William, dan tiga anak William iaitu Putera George, Puteri Charlotte dan Putera Louis.

Spekulasi peranan Harry dan Meghan di dalam keluarga diraja mula menjadi tanda tanya selepas Queen Elizabeth II memaparkan gambar semua ahli keluarga diraja pada sambutan Krismas tahun lalu, namun tidak kelihatan Harry dan Meghan.

Yanie Baharom