Categories: Gaya Hidup

Untuk Elak Kereta Calar-Balar Selepas Cuci, Ikuti Tiga Langkah Ini

Kebersihan melambangkan keperibadian seseorang. Tidak kira daripada segi apa pun, kebersihan perlu diutamakan termasuk dalam aspek penjagaan kereta. Tahukah anda, apakah kaedah-kaedah yang betul untuk membersihkan kereta?

Teknik pencucian yang salah boleh mengakibatkan masalah-masalah yang tidak diingini, misalnya cat kereta yang dicacatkan oleh kesan calar-balar yang anda lakukan tanpa sengaja selain warna cat pudar.

Untuk mengelak kereta kesayangan anda yang baru dibeli nampak seperti sebuah kenderaan lama atau tidak lagi kelihatan bermaya, cuba tiga tip ini.  

Foto: stockphoto.com

1. Tip 1 – Mencuci kereta

Foto: Gohed Gostan

Anda disaran menggunakan syampu kereta. Jangan pakai sabun baju! Kemudian bilas bersih dan jangan biarkan kesan sabuh tertinggal.

Cuci kereta anda dengan segera jika terkena tar jalan, minyak, getah pokok dan najis burung. Untuk aktiviti rutin setiap minggu, basuh kereta menggunakan produk wash and wax.

Cucilah kereta dari bahagian atas bumbung membawa ke bawah. Pastikan kain yang digunakan untuk mencuci bahagian atas dan bawah kereta diasingkan.

Dikhuatiri jika anda menggosok di bahagian bawah kemudian ke atas, membawa segala butiran halus pasir sekali gus membuat badan kereta bahagian atas bercalar lebih teruk.

Elakkan mencuci kereta di bawah terik matahari sebab kesan sabun akan cepat kering dan meninggalkan kesan pada kereta yang kelihatan bercapuk!

Tip 2 – ‘Polish & Wax’ Kereta

Foto: YourMechanic

Polish dilakukan dengan tujuan untuk menghilangkan calar-calar halus dan membuang cat yang telah ‘mati’ pada kereta, sebelum dilapisi dengan wax. Wax pula memberi perlindungan pada cat kereta daripada calar-calar halus, hujan dan titisan embun.

Calar-calar yang sampai ke badan kereta memang tidak boleh dihilangkan. Wax bertujuan untuk menjadikan cat itu kalis air. Wax ada dua jenis iaitu synthetic polymer dan carnauba wax.

Tip 3 – Cara Mengilatkan Kereta

Foto: larryhmillernissan104

Ada beberapa langkah yang perlu anda lakukan jika mahu mengilatkan kereta. Ia bergantung pada keadaan cat kereta. Berikut kami kongsikan beberapa kaedah berguna yang anda boleh cuba selepas ini:

– Jika cat sudah teruk, anda perlu lakukan rubbing compound terlebih dahulu untuk tanggalkan kesan-kesan tar, najis burung dan sebagainya. Selepas itu barulah polish selapis untuk menghilangkan kesan-kesan cat yang telah teroksida. Selepas polish, barulah wax.

– Sekali-sekala gunakan shine polish untuk mengilatkan kereta anda. Untuk jangka waktu tiga hingga empat bulan, jika cat kereta ada kotoran degil untuk ditanggalkan ataupun ada banyak kesan calar, maka kereta perlu di’polish’.

Pada masa ini anda perlu gunakan dua jenis polish. Pertama, gunakan jenis yang kasar untuk menanggalkan kotoran degil, cat mati serta menghilangkan calar-calar halus. Selepas itu, sapukan shine polish. Polish jenis ini adalah halus dan bertujuan untuk mengilatkan kereta sahaja.

– Gunakan tiga helai kain ketika membuat polish dan wax; satu untuk lap, satu untuk lap calar buat kali kedua (sental perlahan kain kerana pada waktu ini kita hanya perlu bersihkan polish atau wax) dan satu lagi untuk lap kali terakhir. Apabila polish kereta, jangan biarkan polish terlalu lama pada permukaan cat, sebab ini akan membuatkan polish kering dan terlalu keras sehingga apabila di’wax’, masih terdapat polish mark pada permukaan cat.

– Jika anda baru membeli kereta atau menggunakan kereta yang baru dicat, maka anda dinasihatkan menggunakan soft wax (biasanya cair). Hanya gunakan wax sebulan sekali kerana sifatnya mengikis lapisan antigores (acrylic), dan kalau terlalu sering melakukan wax maka lapisan antigoresnya cepat terhakis sekali gus menanggalkan lapisan cat kereta.

Sumber: InTrend

Yanie Baharom