Categories: Hiburan

20 Bakat Baharu Rakam Lagu Patriotik Malaysia Ku Tercinta

Sempena dengan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang bakal disambut dalam norma baharu tidak lama lagi, 20 bakat baharu dalam dunia nyanyian tampil dengan sebuah lagu istimewa berjudul Malaysia Ku Tercinta.

Ini merupakan hasil usaha syarikat produksi muzik tempatan, CTONE Studio yang mengambil inisiatif sendiri dengan menghasilkan sebuah projek khas dikenali sebagai Patriot Bangsa Malaysia.

Menerusi projek ini, Malaysia Ku Tercinta ciptaan enam komposer iaitu Alif Azhari, Encik Mattao, Faisal Firdaus, Ezad Shazrul, Faliq Fauzi dan Safiza Afian berjaya menggabungkan 20 orang penyanyi baharu yang berbeza latar belakang kerjaya.

Menariknya lagi, sebahagian besar daripada 20 orang penyanyi ini juga merupakan anggota petugas barisan hadapan (frontliners) yang pelbagai selain pernah tular di media sosial dan menyertai program realiti di beberapa buah stesen televisyen tempatan.

Mereka terdiri daripada Adzham Adnan, Alif Azhari, Aniq Muhai, Dean, Jaria, Jaswan Abdullah, Jesyln Khoo, Aiman Sidek dan Encik Mattao.

Turut terlibat memberi sokongan adalah peserta dari Kilat Idol 2019; Mohd Azad, Faisal Firdaus, Khai Sani, Lutfi Voice of Men, Ajude, Sinar Rahman, Norzie, Ebba Khan, Ieqa, Yura
Reduan serta Kajol Zuraidah.

Mewakili mereka yang terlibat, menurut Alif Azhari dia berbesar hati apabila semua penyanyi ini sudi bekerjasama dan meluangkan masa apatah lagi ada diantaranya sibuk dengan kerja dan komitmen menjaga keselamatan negara dan kesihatan masyarakat.

“Patriot Bangsa Malaysia adalah nama sebuah projek inisiatif dari kami, CTONE Studio dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dalam menghasilkan karya seni muzik dalam bentuk audio video. Projek ini merupakan salah satu daripada Corporat Social Responsibility (CSR) produksi kami di mana bakat-bakat baharu akan diketengahkan dalam sebuah lagu yang bertemakan kenegaraan dan patriotism disamping menambah karya-karya terkini dalam industri muzik negara,“ ujar Alif.

Kongsi Alif lagi yang juga merupakan komposer dan salah seorang penyanyi dalam lagu Malaysia Ku Tercinta, beliau akui berhadapan dengan cabaran berikutan lagu ini dirakam dan dihasilkan secara berasingan dengan setiap penyanyi tersebut menghantar audio nyanyian mereka sendiri. Namun, cabaran itu yang menjadi tarikan dalam projek Patriot Bangsa Malaysia sebelum para komposer bekerjasama menggabungkan kesemua suara menjadi sebuah lagu yang pasti akan menyuntik semangat patriotrisme para pendengar.

“Apa yang menjadi cabaran bagi produksi kami apabila lagu ini dirakamkan dari kediaman dan tempat pekerjaan masing-masing menggunakan peranti peribadi atas sebab kekangan mobiliti.

“Walaubagaimanapun, atas komitmen dan kerjasama semua peserta dan pihak produksi, kami semua dapat menghasilkan sebuah lagu patriotik baharu untuk diabadikan dalam industri muzik walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Pesanan kami sebagai produksi, komposer dan penulis lagu untuk semua pendengar, semoga lagu ini memberi suntikan semangat untuk rakyat Malaysia dan menjadi harapan untuk menempuh satu era yang lebih sihat dan positif. Moga terus tabah dan kuat dalam mengharungi pandemik yang kian berleluasa,” tambah Alif

Lagu Malaysia Ku Tercinta terbitan CTONE Studio dengan kerjasama MY Music Lab Records, Pondok Rahmat Project, Badan Amal Darul Mustafa dan MY Cyber Studios kini boleh dilayari di laman YouTube CTONE Studio Channel bermula pada 28 Ogos 2021.

Padin