46 Hari Di Set Pujaan Hati Kanda, Ayden Mikael Tak Pernah Menangis?

Memegang Watak Iqy dalam drama rantaian popular Pujaan Hati Kanda, ibu kepada Ayden Mikael, Anna Abdullah Kim memberitahu anak tunggalnya itu merupakan bayi mesra kamera.

Kata Anna, Mika (nama panggilan di rumah) seolah memahami situasi berada di set penggambaran.

“ Sepanjang berada di set PHK selama 46 hari, Mika amat mudah beri kerjasama. Letak sahaja dengan mana-mana pelakon, dia pasti diam dan cepat selesa.

“ Mika juga terlibat dalam 300 babak untuk PHK. Alhamdulillah, dia tidak banyak meragam melainkan ketika dia lapar dan mengantuk,” katanya kepada XTRA.

Berkongsi pengalaman lucu, Anna menceritakan ketika Mika diminta melakonkan babak menangis, dia dan suami terpaksa meninggalkan anaknya itu seketika di sebuah penjuru gelap.

“ Punyalah susah untuk buat Mika menangis sampai kami terpaksa buat begitu. Bila ingat balik, memang kelakar. Syukur penggambaran juga sudah selesai dan Mika kini gembira bermain di rumah,” katanya.

Menariknya, biarpun drama PHK masih hangat ditayangkan, Mika sudah menerima tawaran berlakon drama lain.

“ Segalanya masih dalam peringkat perbincangan. Jika segalanya lancar, Insha Allah Mika akan kembali ke set penggambaran.

“ Begitu juga dengan tawaran iklan bagi beberapa produk bayi. Alhamdulillah, saya dan suami menganggap tawaran berlakon ini sebagai rezeki permulaaan tahun 2019,” akhirinya.

Saksikan wajah dan keletah comel baby Iqy dalam Pujaan Hati Kanda setiap Isnin-Jumaat jam 7 malam di Slot Akasia. 

SGMS Faida