Abang Sulung Naqiu Kembali Ke Rahmatullah

Abang sulung kepada penyanyi Naqiu, Huzaini Hussein meninggal dunia jam 8.30 malam semalam di Hospital Sungai Buloh akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Naqiu yang juga salah seorang juara program realiti televisyen, Gegar Vaganza 2019 berkata arwah yang berusia lewat 40-an terlantar sakit di hospital berkenaan sejak dua bulan lalu dan kali terakhir dia bertemu arwah adalah sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri dua tahun lalu. 

“Dia selalu merantau atas urusan kerja, jadi kami jarang dapat berjumpa.  Kali terakhir saya bertemu pun pada hari raya dua tahun lepas.

“Malah, hari ini pun saya tak dapat bersama arwah untuk kali terakhir dan menguruskan pengebumiannya kerana beradai di Kulim, Kedah. 

“InshaAllah, saya akan pulang esok dan bergegas ke Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana untuk ziarah pusara arwah abang,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah Naqiu lagi, abangnya merupakan individu pertama yang memulakan kerjaya seninya dalam industri muzik. 

“Abang saya dulu bekerja dengan Erra Fazira sebagai penari.  Jadi dia individu pertama yang bawa saya masuk dalam bidang ini.

“Dia menghantar demo suara saya kepada Erra kerana nampak potensi saya. 

“Saya mohon doa semua agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” kata Naqiu yang juga merupakan anak bongsu daripada lapan adik beradik itu.  

Gambar ihsan Harian Metro

Kredit Foto: Harian Metro & Instagram @thisisnaqiu

Del14