Adam E Elak Tumpang Populariti Ayah

Enggan terus dikaitkan dengan populariti bapa, Dato Hattan, Adam E mengaku adakala rimas dengan tanggapan warganet.

Adam E atau nama sebenarnya Adam Eiman Mohd Shukri Sahabuddin, dia sebolehnya tidak mahu dianggap cuba menggunakan nama bapa dalam membina karier muzik.

“Sebolehnya saya tidak mahu dikenali atas ‘tiket’ nama bapa. Saya tidak mahu dikatakan masuk dengan laluan mudah kerana saya anak Hattan.

“Sejak kecil lagi saya memang meminati bidang muzik malah banyak belajar mencipta melodi di video online.

“Ayah ada juga bagi saya dengar lagu rock balada seperti lagu-lagunya cuma jiwa saya lebih kepada muzik aliran hip-hop,” katanya.

Adam ketika ditemui di sesi santai bersama media semalam memaklumkan bapanya terkejut dengan aliran muzik yang mahu diketengahkan untuk single pertama.

“Saya dan ayah mempunyai citarasa berbeza dalam bidang muzik. Kalau ayah lebih menitik beratkan lirik, saya pula lebih cenderung menghasilan melodi.

“Pada awalnya dia memang terkejut tetapi sebagai bapa dia faham dengan ‘selera’ anak sendiri.

“Ayah juga menyokong penuh penglibatan saya dalam dunia nyanyian namun meletakkan syarat saya perlu menjaga keperibadiaan diri sebaiknya,” katanya.

Adam kini tampil dengan single duet bersama Dato Hattan berjudul Perlukan Aku.

Single ciptaan Adam ini turut mendapat sentuhan saudaranya, Ayril Cenna yang juga merupakan seorang penyanyi rap.

Lagu berentak hip hop ini turut mendapat kerjasama dari Sasuke Outlet. 

Dalam pada itu, Adam E memberitahu dia kini mengikuti pengajian dalam bidang Perhubungan Awam Antarabangsa di sebuah pusat pengajian tinggi swasta.

SGMS Faida