Agihan Royalti Belum Selesai, Karyawan Rayu Kerajaan Bantu

“ Masih ramai artis yang keliru dengan proses agihan royalti. Saya harap isu royalti persembahan awam awam dapat diselesaikan secepat mungkin,” kata Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez berhubung masalah yang sekian lama melanda industri hiburan.

Kata beliau, isu ini sudah banyak kali dibincangkan namun masih tiada penyelesaian terbaik.

Beliau berkata apa yang masih menjadi masalah kepada artis sehingga kini adalah ramai yang keliru dengan proses pengagihan royalti ini dengan dua badan yang dipertanggungjawab mengagihkan royalti artis iaitu RPM (Recording Performers Malaysia) Bhd dan PRISM (Performers Rights and Interest Society of Malaysia) Bhd.

“Ada artis dan pemuzik rakaman yang datang mengadu kepada Karyawan bahawa mereka tidak mendapat sebarang royalti walaupun ada dua badan yang kononnya mewakili mereka iaitu RPM dan PRISM,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Karyawan, katanya, mencadangkan agar kerajaan baharu campur tangan dengan segera untuk mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menentukan artis memperoleh royalti yang menjadi hak mereka.

“Penyelesaian terbaik ialah tutup PRISM dan gabungkan semua hal berkaitan royalti artis di bawah satu badan sahaja iaitu RPM. Jika ini tidak dilakukan sampai bila-bilapun artis tak akan dapat menikmati royalti yang menjadi hak mereka,” katanya. 

SGMS Faida