Pecah Rekod! Syed Saddiq Menteri Paling Muda

Wow! Nampaknya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman berjaya memecahkan rekod yang pernah dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Di usia 26 tahun, Syed Saddiq dilantik sebagi Menteri Belia dan Sukan sekaligus menjadi Menteri paling muda di Malaysia.

Sebelum ini, rekod pemimpin paling muda dalam Kabinet disandang Datuk Seri Najib Razak ketika dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos pada 1978, ketika beliau berusia 25 tahun sebelum memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan ketika berusia 33 tahun.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, komitmen dicerminkan kerajaan adalah bukti usaha untuk mengangkat suara anak muda akan terus dihargai.

“Saya baru saja selesai mengangkat sumpah di Istana Negara sebagai anggota Jemaah Menteri dan bakal menggalas tugas sebagai Menteri Belia dan Sukan bagi penggal ini.

“Saya memanjatkan rasa penuh syukur dan takzim ke hadrat Ilahi atas pelantikan ini.

“Sesungguhnya ia adalah amanah amat berat untuk saya pikul, namun ia berupaya digalas serta percaya kejayaan akan diraih bersama-sama kakitangan Kementerian Belia dan Sukan sebagai satu pasukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syed Saddiq juga berjanji akan membela nasib golongan atlet pada masa akan datang.

“ Selain itu, pelbagai dasar dan rancangan untuk belia akan diangkat, selain dijadikan hala tuju Malaysia bagi memastikan golongan muda menjadi peneraju utama agenda pembangunan negara.

 “Kerajaan juga berazam untuk memperjuangkan sukan tempatan secara lebih menyeluruh dan adil, malah Malaysia akan terus menempa kejayaan dalam pelbagai bidang seperti aspek pengurusan, kemudahan dan hal ehwal atlet yang menjulang kejayaan di arena tempatan dan antarabangsa,” akhiri beliau.

Tahniah buat Syed Saddiq, terus berkhidmat dengan cemerlang! 

SGMS Faida