Aishah Menang Kes Tuntutan Hadiah, Rasa Terkilan Dapat Tahu Penaja Muflis – “Boleh Dipenjarakan Sebab…”

Penyanyi terkenal, Datuk Aishah bersyukur apabila memenangi kes tuntutan hadiah ketika menyertai program realiti nyanyian pada 2017 iaitu tanah lot banglo akhirnya telah selesai.

Memetik laporan mStar, Aishah atau nama sebenar Wan Aishah Wan Ariffin dapat menarik nafas lega selepas lima tahun membuat tuntutan.

“Alhamdulillah semua sudah selesai. Saya bukan suka nak kecoh-kecoh begini, tetapi ia harus diselesaikan. Sekarang saya boleh duduk dengan tenang.

“Terima kasih kepada pihak peguam kerana sudi mengambil kes ini. Betul-betul cukup lima tahun baru ada penyelesaian,” katanya.

Namun, penyanyi lagu Pulanglah ini meluahkan rasa terkilan apabila salah seorang daripada pihak penaja tidak bercakap jujur tentang statusnya yang telah muflis.

“Dah dua hari perbicaraan dijalankan hari ketiga baru tahu pihak penaja itu beritahu dia muflis dan tindakan tersebut boleh dipenjarakan sebab tak hormat mahkamah,” ujarnya menerusi perkongsiannya di Instagram.

Tambah Aishah, dia mengakui proses tuntutan ini sangat memenatkan namun dia rasa perlu untuk berbuat sedemikian supaya ianya tidak berlaku kepada orang lain yang berada di dalam industri yang sama.

Sumber: mStar & Instagram @aishahjmm

Maya Basir