“Kalau tanya saya, pilihan saya adalah Aisyah Aziz,”kata Ernie Zakri ketika menjawab soalan media siapa penyanyi yang layak membawakan lagu Anta Permana di Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) nanti.

Kata Ernie ketika ditemui Xtra dia belum menerima sebarang tawaran rasmi dari komposer atau penyanyi lagu itu sendiri, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Saya serahkan kepada mereka untuk membuat pilihan. Jujurnya saya berbesar hati sekiranya dapat menggantikan tempat beliau (DS Siti Nurhaliza) jika diberi peluang.

“Ada dengar mengenai hal ini tetapi belum serius lagi,”kata Ernie ketika ditemui di sidang media program Mentor Milenia di Sri Pentas, baru-baru ini.

Kata Ernie, dia melihat sosok Aisyah sebagai individu paling sesuai kerana suaranya yang luar biasa.

“Bila suara berbeza dari penyanyi asal, pendengar atau penonton tidak membuat pertandingan ketara atau samakan persembahan mereka.

“Aisyah memiliki suara seperti ala Allahyarham Puan Sri Saloma. Saya rasa dia calon sesuai untuk membawakan Anta Permana,”katanya.

Terdahulu, Siti pernah memberitahu mahu melihat Ernie menggantikan tempatnya di AJL34 untuk lagu Anta Permana seandainya terpilih ke pentas akhir.

SGMS Faida