Ajak Shiro Mahu Menjadi Pengacara

Pelawak dan penyanyi Ajak Shiro akui sudah selesa menjadi seorang pengacara selepas menamatkan tugas sebagai penyampai radio.

Menurut Ajak, dia banyak menerima tawaran mengacara namun tidak menolak jika ditawar untuk berlakon ataupun menyanyi.

“Saya fokus kepada pengacaraan dan nyanyian sekarang ini.

“Buat masa ini memang banyak tawaran sebagai pengacara dan saya sendiri sudah selesa dalam bidang ini.

“Saya sebenarnya seorang yang tidak mempunyai cita-cita. Apa sahaja rezeki yang datang, saya terima.

“Selain daripada program Melodi, selepas ini saya akan mengacara program Lawak Cilik serta beberapa program lain bersama pelawak Shahrol,” katanya kepada Gempak.

Ajak ditemui usai majlis berbuka puasa bersama rakan-rakan bagi meraikan anak-anak yatim dari rumah Yayasan Chow Kit di Hotel Aloft Kuala Lumpur Sentral.

Tambah Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Razak, timbul juga perasaan rindu untuk meneruskan tugas sebagai seorang penyampai radio.

“Saya rindu dengan kesibukan dahulu kerana saya seorang yang ‘workaholic’.

“Kadang-kadang saya terfikir apa yang ingin dibuat padahal ketika menjadi penyampai radio saya asyik ingin berehat,” katanya lagi.

Oleh: Zulaikha Yusof

Sumber: Gempak

SGMS Enal