Jarak Usia Terus Menjadi Topik, Priyanka Chopra Kecewa

Pelakon Bollywood yang kini mencipta nama di Hollywood, Priyanka Chopra kecewa apabila jarak usianya dengan suami, Nick Jonas sering menjadi perbualan ramai.

Kata pelakon filem Quantico ini, meskipun sudah enam bulan berkahwin, isu usia tetap diangkat menjadi topik utama.

“ Masyarakat masih berbual tentang hal sampai sekarang. Hanya kerana saya seorang wanita, isu ini terus diangkat.

“ Padahal kalau mana-mana wanita berkahwin dengan lelaki tua, tiada orang yang bercakap mengenai isu jarak usia malah orang lebih suka,” katanya kepada majalah Instyle.

Pelakon berusia 36 tahun ini berharap agar topik mengenai jarak usianya dengan Nick tidak lagi menjadi bualan umum.

Priyanka dan Nick berkahwin pada Disember 2018 dalam sebuah majlis penuh gemilang di India.

Terdahulu, Nick turut menulis ucapan manis di Instagramnya sempena setahun perkenalan dia dan isteri.

“ Saya bersyukur dengan perjalanan ini. Kamu membuatkan saya senyum setiap hari dan tidak berhenti memberikan inspirasi dalam menjadikan saya lebih baik berbanding sebelum ini. Sebuah penghormatan dapat bergelar suamimu. Saya sayang awak,” akhiri Nick.

SGMS Faida