“Iya, memang saya disaman ketika bercuti di Phuket, Thailand, baru-baru ini atas kesalahan meletakkan motosikal di kawasan larangan parkir,” kata penyanyi dan pelakon, Hazama Ahmad Azmi.

Hazama, 35, berkata, dia tidak sengaja meletakkan motosikal di kawasan larangan itu, memandangkan papan tanda peringatan menggunakan bahasa Thailand.

“Motosikal saya dirantai dan saya perlu ke balai polis untuk menyelesaikan saman dengan membayar denda 500 Baht (kira-kira RM66). Bagi saya, ia bukan isu besar, malah bersyukur semuanya selesai dengan baik,” katanya.

Hazama berkata, ketika kejadian, dia dan isterinya, Genervie Kam sedang berbulan madu selepas dua tahun berumah tangga.

“Sebelum ini, saya disekat daripada keluar negara kerana nama disenarai hitam akibat masalah tunggakan cukai. Apabila nama bebas daripada senarai hitam, saya ambil peluang untuk bercuti.

“Kami memilih Phuket memandangkan saya tidak dapat bercuti lama kerana terikat dengan komitmen kerja. Biarpun hanya beberapa hari, dapat juga merehatkan minda bersama isteri,” katanya.

Penyanyi lagu Peneman itu ditemui pada sesi taklimat media program Mentor Milenia 2019 yang bakal bersiaran di TV3 bermula Oktober depan.

Hazama berkata, Mentor Milenia 2019 menampilkan banyak kelainan dalam usaha mengetengahkan bakat baharu yang mempunyai kesungguhan, keyakinan dan matlamat sebagai anak seni.

Selain Hazama, Mentor Milenia musim terbaru turut disertai empat mentor lain iaitu Akim, Stacy, Black Hanifah dan Ernie Zakri.

Uji bakat akan bermula 3 dan 4 Ogos ini di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah, disusuli Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, pada 24 dan 25 Ogos serta 7 dan 8 September.

Kredit: Berita Harian Online.

SGMS Enal